Skip to main content

UMP terima sumbangan RM157,800 daripada UMW Toyota Motor

Kuantan, 7 Januari – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Yayasan UMP menerima sumbangan berjumlah RM157,800 daripada UMW Toyota Motor bagi menjayakan Projek Ninja @UMP STEM Lab yang bakal dilaksanakan mulai April tahun ini membabitkan lebih 1000 pelajar sekolah di seluruh negara.

Kepesatan pembangunan teknologi dan maklumat pada hari ini memerlukan pelajar berpengetahuan dan berkemahiran khususnya dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai menguasai kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreatif.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga  Timbalan Pengerusi Yayasan UMP berkata, menjadi keutamaan UMP untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan sosio ekonomi masyarakat melalui pendidikan dan penyelidikan yang dijalankan selari dengan hasrat universiti dalam merealisasikan agenda memasyarakatkan teknologi yang dapat dimanfaatkan masyarakat setempat. 

“Kerjasama UMP dan pihak UMW Toyota Motor dalam menjayakan Projek Ninja @UMP STEM Lab ini akan menarik minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM khususnya berkaitan robotik dan teknologi digital. Ianya turut membabitkan mahasiswa UMP sebagai fasilitator, guru pembimbing dan pensyarah dalam memperkasa bidang STEM ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Cek Toyota Classic UMW Toyota Motor kepada UMP bersempena Kick Off Projek Ninja @UMP STEM Lab di Dewan Bankuet Canseleri Pekan baru-baru ini.

Bercakap mengenai Yayasan UMP, ujarnya bermula Januari 2020, MyGift UMP diperkasa dan dijenamakan semula sebagai Yayasan MyGift UMP atau dikenali sebagai Yayasan UMP untuk mengumpul dan mengurus dana daripada orang ramai, syarikat dan institusi bagi kegunaan bantuan kebajikan untuk mahasiswa UMP. Ianya termasuklah membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan menyediakan kemudahan pembelajaran untuk mahasiswa. Menjelang 2025, Yayasan UMP mensasarkan bantuan kepada seramai 7000 orang mahasiswa daripada keluarga B40 dan mahasiswa cemerlang yang menyambung pengajian di universiti ini.

Hadir menyampaikan replika cek Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K yang hadir bersama Pengarah Bahagian Pemasaran, Mohd. Shamsor Mohd. Zain, dan Pengurus Besar Bahagian Pemasaran, Richi Lim. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Prof Madya Ir Dr Nurul Hazlina Noordin.

Sementara itu, Ravindran berkata, hasil kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan dalam Program Eco Youth sejak tahun 2001 seramai 2000 pelajar daripada 300 sekolah telah menjayakan program kesedaran penjagaan alam sekitar. Manakala Toyoto Dream Art Contest yang diperkenalkan sejak 7 tahun lalu berjaya menyuntik semangat pelajar berkongsi idea kreatif dengan lukisan kereta masa depan membabitkan seramai 9000 penyertaan.

Katanya, Toyota sebagai rakan kerjasama penaja turut memperkenalkan inisiatif baharu melalui Toyota Outrun bersempena Tokyo Olympics and Paralympics 2020 yang berjaya mengumpul hasil kutipan sebanyak RM150,000 untuk disumbangkan kepada Paralympic Council of Malaysia.

Melalui penganjuran Konsert Toyota Classic, pihaknya juga berjaya mengumpul sebanyak RM 9.4 juta hasil sumbangan daripada syarikat dan jualan tiket  sejak tahun 1990 yang telah memanfaatkan lebih 72 organisasi berkaitan penjagaan alam sekitar dan golongan muda di negara ini. Selain UMP, turut sama menerima sumbangan pihak UMW Toyota Motor pada kali ini adalah Sabah Wetland Conservation Society Malaysia. 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri