Skip to main content

UMPSA anjur Pertandingan Kreativiti AI 2024: Seni dalam Era Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) pupuk minat pelajar terhadap teknologi

PEKAN, 17 Disember 2024 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan program Pertandingan Kreativiti AI 2024: Seni dalam Era Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) sebagai platform untuk memperkenalkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kepada pelajar dan generasi muda. 

Program itu diadakan  bertujuan untuk memupuk minat terhadap teknologi AI serta memberi peluang kepada peserta untuk meneroka inovasi sains dan teknologi dalam cara yang praktikal, menyeronokkan, dan mendidik.

Majlis penutup program telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) FTKPM, Ts. Dr. Ahmad Rosli Abdul Manaf.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan mengenai kepentingan teknologi AI dalam memacu inovasi dalam era Revolusi Industri 4.0. 

“Semoga program seperti ini dapat membentuk bakat masa depan yang berdaya saing dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

“Diharapkan agar program ini menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda yang lebih cemerlang dan kreatif dalam bidang AI dan STEM.

“Saya juga yakin bahawa usaha berterusan seperti ini akan membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara di era digital,” katanya. 

Program ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 253 pelajar daripada 11 buah sekolah sekitar Pahang termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud, SMK Gudang Rasau, SMK Tengku Afzan, SMK Tengku Abdullah, SMK Indera Syahbandar, SMK Sungai Soi, SMK Peramu Jaya, SMK Ubai, SBPI Kuantan, dan SMK Seri Pekan.

UMPSA anjur Pertandingan Kreativiti AI 2024

 

Kehadiran para peserta ini membuktikan sambutan yang amat memberangsangkan dalam kalangan pelajar terhadap teknologi baharu dan inovasi.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk sesi Webinar bertajuk ‘Video Editing Using AI Tools’ dan ‘Poster Editing Using AI Tools’ yang diadakan secara dalam talian pada 12 Disember 2024. 

Aktiviti ini memberi pendedahan kepada para peserta tentang penggunaan teknologi AI dalam bidang kreatif.

Selain itu, pertandingan Rekaan Poster Kreatif AI dan Video Kreatif AI turut diadakan sebagai ruang untuk pelajar menyalurkan kreativiti mereka dalam penghasilan karya berasaskan teknologi AI. 

Pertandingan ini bukan sahaja menguji daya kreativiti peserta, tetapi juga menggalakkan pemikiran kritis dan inovatif dalam menyelesaikan masalah serta memperkenalkan konsep AI dalam seni visual.

Kemuncak program adalah sesi AI Tech Forum bertajuk ‘Kecerdasan Buatan: Menerokai Masa Depan Pendidikan dan Kerjaya‘ yang memberikan pendedahan mendalam tentang peranan AI dalam membentuk masa depan pendidikan dan kerjaya, di samping membincangkan potensi besar AI dalam memenuhi keperluan industri global. 

Forum ini turut memberi inspirasi kepada para peserta untuk melihat teknologi AI sebagai elemen penting dalam kehidupan dan kerjaya masa depan.

Majlis penutup program diserikan dengan showcase dan pembentangan karya finalis pertandingan. 

Para peserta berpeluang mempamerkan hasil kreativiti mereka kepada para juri dan hadirin. 

Penyertaan aktif para pelajar dalam semua aktiviti menunjukkan potensi besar generasi muda dalam menguasai teknologi masa depan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Bahasa Moden, UMPSA Pekan ini berjaya mencapai matlamatnya untuk memupuk minat dan keterlibatan pelajar dalam teknologi AI. 

Program Minggu AI ini diakhiri dengan kejayaan yang membanggakan, sekali gus membuktikan komitmen FTKPM dalam memperkasa pendidikan teknologi dan inovasi dalam kalangan generasi muda.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid, Athirah Ruzaini, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Dan Mekatronik (FTKPM)

Reports by:
Admin UMP News