Skip to main content

UMPSA anjur Program Kesedaran Sains di SMATAF tingkatkan minat dan kemahiran pelajar

PEKAN, 6 November 2024 – Program Profesor Turun Padang 2024 anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya meningkatkan kesedaran dan minat pelajar Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF) terhadap subjek sains. 

Program itu yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, SMATAF, Pekan telah dihadiri 60 pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Turut serta seramai lima orang guru Sains dan Matematik, SMATAF. 

Program itu bertujuan untuk mendorong pelajar memahami kepentingan sains dalam kehidupan seharian. 

Aktiviti utama yang dijalankan merangkumi ceramah bertajuk ‘Sains dalam al-Quran’ dan sesi aktiviti dalam kumpulan (ADK). 

Ceramah yang bertajuk ‘Sains dalam al-Quran’ telah disampaikan oleh Pensyarah FTKKP, Profesor Madya Dr. Fatmawati Adam yang menghubungkan prinsip sains moden dan Islam dengan mengetengahkan konsep-konsep yang menunjukkan bagaimana sains dan agama saling melengkapi telah memukau para pelajar. 

SMATAF

Pendekatan ini bukan sahaja menarik minat pelajar tetapi turut menggalakkan mereka melihat sains sebagai elemen penting dalam memahami ciptaan Tuhan.

Menurut Pensyarah FTKKP selaku ketua program, Profesor Madya Ts. Dr. Farhan Mohd Said,
pelajar turut terlibat secara aktif dalam ADK untuk projek penapisan air. 

“Untuk aktiviti ini, pelajar telah didedahkan dengan prinsip asas penapisan dan kepentingannya dalam kehidupan seharian. 

“Aktiviti ini bukan sahaja mengukuhkan pemahaman teori pelajar, tetapi juga mengasah kemahiran praktikal dan kerja berpasukan. 

“Antara keunikan program ini adalah penglibatan pelajar-pelajar pascasiswazah dari FTKKP yang terdiri daripada pelbagai negara seperti Malaysia, China, Nigeria, Pakistan, dan, Bangladesh sebagai fasilitator ADK. 

“Kehadiran mereka memberi pendedahan kepada pelajar SMATAF untuk berkomunikasi dengan individu daripada latar belakang dan budaya yang berbeza, sekali gus meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi pelajar,” ujarnya. 

Program itu turut dibantu oleh barisan Pensyarah FTKKP iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Norhayati Abdullah dan Profesor. Madya Dr. Fatmawati Adam. 

Pada akhir program, guru-guru dan pelajar SMATAF memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap program ini. 

Mereka menyatakan bahawa ceramah dan aktiviti berkumpulan memberikan impak mendalam dalam memotivasikan pelajar. 

Pelajar kini lebih cenderung melihat sains bukan hanya sebagai subjek akademik, tetapi sebagai alat untuk memahami dunia dengan lebih luas.

Kerjasama erat antara UMPSA dan SMATAF diharapkan dapat membuka ruang kepada lebih banyak program serupa pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Farhan Mohd Said, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia Dan Proses (FTKKP)
 

Reports by:
Admin UMP News