UMPSA anjur Seminar Isu Akidah dan Syariat dalam Amalan Perubatan
KUANTAN, 18 Disember 2023 – Masyarakat hari ini dilihat masih lagi keliru dalam membezakan khidmat rawatan tradisional yang ditawarkan oleh para pengamal.
Malah, mereka juga sering kali terdedah kepada tipudaya oleh pengamal yang tidak bertanggungjawab samada tipu daya dari sudut harta, maruah dan juga akidah.
Hal ini menyebabkan terdapat sebilangan anggota masyarakat yang menjadi mangsa hingga tergadai harta benda, maruah dan yang paling berbahaya apabila terjebak dalam amalan-amalan syirik dan khurafat.
Walaupun telah terdapat banyak fatwa dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, masyarakat dilihat masih kurang mendapat pendedahan tentang isu-isu ini disebabkan tiada usaha penerangan secara turun padang dilakukan oleh pihak berkenaan.
Mengambil berat mengenai situasi ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) telah mengadakan Seminar Isu-isu Akidah dan Syariat dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari untuk menyebarluaskan ilmu, kefahaman serta kepakaran tenaga pakar di UMPSA kepada komuniti setempat dan orang awam.
Seminar diadakan pada 18 dan 20 Disember 2023 di dua lokasi berbeza iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya.
Dalam pada itu, ia juga turut diadakan bersempena Program Profesor Turun Padang (PTP) yang dianjurkan oleh Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat dengan hasil kerjasama Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 146 peserta telah hadir bagi seminar yang diadakan di Kuantan manakala seramai 112 peserta bagi seminar di Temerloh Jaya.
Lebih membanggakan, program ini juga mendapat penyertaan daripada Selangor, Johor, Kelantan dan Terengganu.
Menurut Pensyarah Kanan, PSK UMPSA, Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail, sebanyak enam modul telah dikupas dan dibincangkan bersama para peserta.
“Antara modul yang dibincangkan adalah merangkumi isu-isu yang sering bercanggah dengan akidah dan perubatan moden iaitu melibatkan ilmu pengasih, bedah batin, kasyaf, pagar rumah, ilmu Ghaib dan bunuh Jin.
“Apa yang dikupas dalam program ini hanyalah sebahagian atau 1/4 daripada 24 isu yang tersenarai dalam Buku Isu-isu Akidah dan Syariah Dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari.
“Program seumpama ini juga akan kita teruskan pada masa akan datang agar masyarakat dapat memiliki pengetahuan yang lebih meluas mengenai perkara ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, program ini bukan sahaja berperanan sebagai medan untuk mempromosikan program pengajian dan kepakaran yang ada di UMPSA malah ia juga dapat membina hubungan universiti-komuniti yang berkesinambungan sehingga berupaya mengubah landskap budaya dan amalan komuniti yang lebih baik dan berkualiti sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMPSA.
Selain ceramah, turut diadakan adalah pameran oleh Bahagian Penyelidikan JAIP, gerai jualan buku terbitan Penerbit UMPSA dan promosi program pengajian pascasiswazah UMPSA.
Disediakan Oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat
- 74 views