UMPSA bakal buka Pusat Pembelajaran Kuala Lumpur persediaan sebagai Hab TVET Termaju di Rantau ASEAN
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhasrat membuka Pusat Pembelajaran UMPSA Kuala Lumpur (UMPSA KL) sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses pendidikan tinggi khususnya dalam pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) kepada masyarakat bandar serta golongan profesional yang bekerja.
Usaha ini adalah sebahagian daripada persediaan UMPSA mengukuhkan kedudukan universiti ini sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ASEAN berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan yang berkualiti tinggi.
Kuala Lumpur kini menjadi lokasi strategik UMPSA bagi menarik lebih ramai pelajar dari wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.
Pembukaan Pusat Pembelajaran UMPSA KL ini dijangka bakal menarik minat pelajar di kawasan bandar, golongan bekerja yang ingin meningkatkan kemahiran dan rakan industri serta agensi kerajaan untuk berkolaborasi dalam bidang teknikal dan latihan.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, strategi ini dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta menyediakan peluang pembelajaran yang lebih fleksibel kepada pelajar dalam dan luar negara.
“Selain itu, inisiatif ini turut memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Sudah tiba masanya UMPSA mempunyai Pusat Pembelajaran di Kuala Lumpur dalam menawarkan jaringan strategik bagi pelajar yang mencari akses TVET tanpa perlu pelajar ke kampus universiti di Pekan dan Gambang di Pahang.
“Langkah ini adalah selari dengan sasaran kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan, sekali gus menyokong transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi Madani yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, usaha ini juga merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi UMPSA sebagai universiti teknologi bertaraf global yang menekankan konsep pembelajaran fleksibel, akses mudah serta kolaborasi dengan industri di bandar.
“Usaha ini juga tepat pada masanya apabila UMPSA merupakan salah satu universiti yang diberi kelulusan sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC) dalam usaha memperluas akses serta fleksibiliti pendidikan tinggi negara,” katanya.
“Pelaksanaan QVC ini membolehkan mereka yang bekerja menyambung pengajian secara formal.
“Manakala, micro-credentials menjadi pintu masuk semula ke universiti pada masa hadapan, terutama bagi mereka yang tidak dapat mengikuti pendidikan secara konvensional,” katanya.
Ujarnya, pengiktirafan ini adalah strategi penting memperkasa pelaksanaan kursus micro-credentials yang selari dengan piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Dengan adanya pusat pembelajaran ini nanti membolehkan universiti menawarkan program profesional dan program kompetetitif pada masa akan datang.
“Ini termasuklah latihan jangka masa pendek, pensijilan industri dan program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang ditawarkan menerusi UMPSA Advanced.
“Dalam masa yang sama turut merancakkan usaha pihak UMPSA Holdings dalam mengkomersialkan hasil produk UMPSA dan memperkasakan hubungan industri-universiti-komuniti,” tambah beliau.
Pusat pembelajaran ini juga akan menyediakan kemudahan pembelajaran moden berasaskan teknologi digital, bilik kuliah pintar dan sistem pengajaran hibrid yang berfungsi sebagai hab jaringan industri dan komuniti untuk aktiviti pemindahan ilmu, latihan eksekutif dan pembangunan profesional.

Langkah ini menandakan komitmen UMPSA seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Dasar TVET Negara melalui perluasan fizikal dan digital ke kawasan metropolitan yang padat dengan peluang kerjasama strategik bagi memberi penekanan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta berasaskan teknologi termaju, bagi menyokong keperluan tenaga kerja industri.
Menurut Profesor Dr. Yatimah lagi. pusat ini nanti bukan sahaja membuka lebih banyak pilihan kepada pelajar menyambung pengajian tetapi juga untuk mengukuhkan sinergi universiti-industri, sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan dan sebagai usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang seiring keperluan industri masa hadapan.
Beliau hadir melawat persediaan dan menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama anak-anak syarikat milik penuh UMPSA iaitu UMPSA Holdings dan UMPSA Advanced.
Profesor Dr. Yatimah mengucapkan terima kasih semua pihak terutamanya kepada rakan strategik industri, Halim Mazmin Group (HMG) dalam menjayakan penubuhan pusat ini.

Turut sama hadir Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Halim Mazmin Group, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings, Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Bendahari UMPSA, Dato’ Zainuddin Othman dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
TVET kini menjadi antara fokus utama Dasar Pembangunan Negara memandangkan 60 peratus peluang pekerjaan baharu di Malaysia dijangka memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional menjelang tahun 2030.
Disediakan Oleh : Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 192 views
Reports by: