Skip to main content

UMPSA capai misi kibar Jalur Gemilang dan benderanya di puncak Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU, 19 September 2023 - Pasukan pendaki Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selamat tiba di puncak Gunung Kinabalu bagi menjayakan misi menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara itu tepat jam 6.30 baru-baru ini. 

Pendakian hampir 24 jam ke puncak gunung (Low’s Peak) itu diakhiri dengan kibaran tiga bendera iaitu Jalur Gemilang, bendera Negeri Pahang dan bendera UMPSA bersempena dengan Hari Malaysia Ke-60 dan Ulang Tahun UMPSA Ke-21.

Kumpulan pendaki yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Russlim Mohamed selamat tiba di Timpohon Gate pada jam 2.00 petang. 

Lain-lain pendaki terdiri daripada pelajar UMPSA, Muhammad Daniyal Burkhanuddin, Munirah Mahadir, Muvieanraj Anantakumar, Yap Wan Er dan Muhammad Hanif Sufian Hazman. 

UMPSA capai misi kibar Jalur Gemilang dan benderanya di puncak Gunung Kinabalu

Turut sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan UMP, Dato' Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim dan alumni UMPSA, Mohamad Azrul Adnan. 

Ketibaan mereka disambut oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan UMPSA, Dato’ Zainudin Othman dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Aznorizamin Ismail.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Russlim Mohamed, pendakian ini merupakan pengalaman pertama buat kebanyakan pendaki namun semangat juang dan kecekalan yang tinggi membolehkan mereka berjaya menawan Gunung Kinabalu.

“Kami terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk meredah hujan, laluan curam yang tinggi dan keadaan suhu yang terlalu rendah. 

“Ekspedisi ini merupakan satu pengalaman pendakian yang unik kami sekali gus dapat membawa nama universiti ke puncak bertepatan dengan agenda universiti untuk mengukuh dan meningkatkan keterlihatan jenama UMPSA di peringkat negara dan global,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman turut mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada semua pendaki yang telah menamatkan ekspedisi ini dengan jayanya.

“Misi pendakian gunung setinggi 4,095 meter ini adalah bersempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini. 

“Namun, lebih bermakna apabila ia merupakan misi pertama bagi UMPSA setelah penjenamaan universiti pada 30 Julai lalu, sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri buat universiti ini,” ujar beliau. 

Manakala bagi Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kejayaan ini pastinya memberikan semangat buat warga untuk melestarikan kecemerlangan pada masa akan datang. 

“Selain itu, ekspedisi pendakian pada tahun ini merupakan misi kali ketiga selepas berjaya menawan puncak tersebut pada tahun 2012 dan 2017,” katanya. 

Disediakan oleh: Nur Aaina Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena