UMPSA dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang anjur Simposium Hari Kesedaran Pencegahan Bunuh Diri Sedunia dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Negeri Pahang 2024
PEKAN, 19 September 2024 – Baru-baru ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkolaborasi dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dengan menganjurkan Simposium Hari Kesedaran Pencegahan Bunuh Diri Sedunia dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Negeri Pahang 2024.
Majlis telah dirasmikan oleh Pakar Perubatan Perunding Kesihatan Awam, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhammad.
Turut hadir Pengarah Akademi A.D.A.B. UMPSA, Profesor Madya Dr Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Hamiza Ngah.
Program yang dihadiri lebih 200 orang peserta itu telah berlangsung di Auditorium Perpustakaan, UMPSA Pekan.
Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar, UMPSA komited dalam memajukan masyarakat melalui ilmu pengetahuan dan percaya bahawa kesihatan mental merupakan komponen penting dalam memastikan kesejahteraan serta kelangsungan hidup yang holistik.
"Kebimbangan mengenai peningkatan kes bunuh diri dan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam era yang penuh cabaran ini haruslah ditangani secara bersepadu.
“Sehubungan itu, simposium ini merupakan platform yang amat penting untuk kita bersama-sama meningkatkan kesedaran, bertukar pandangan dan merangka strategi pencegahan yang lebih efektif serta menyeluruh,” ujarnya.
Pakar Perubatan Perunding Kesihatan Awam, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berkata, bunuh diri atau cubaan bunuh diri kini menjadi masalah kesihatan awam yang amat penting.
“Setiap 40 saat akan ada satu kematian akibat bunuh diri dengan lebih daripada 703,000 kematian setiap tahun menurut World Health Organization (WHO).
"Bunuh diri juga antara sepuluh penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.
“Hampir 60 peratus kematian berlaku sebelum umur 50 tahun dan kadar kematian adalah dua kali ganda dalam kalangan lelaki berbanding wanita,” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan terkesan dan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi,” katanya.
“Simposium ini diadakan adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran dan mengubah pandangan masyarakat terhadap tingkah laku bunuh diri, mengurangkan stigma serta lebih berempati kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental dan tingkah laku bunuh diri.
"Kita perlu membimbing masyarakat dengan menghidupkan harapan di dalam diri mereka yang berjuang dengan isu kesihatan mental ini.
“Simposium ini juga bertujuan memberikan penekanan dalam aspek penjagaan kesihatan mental warga bekerja sebagai keutamaan bagi mewujudkan suasana dan persekitaran kerja yang lebih sihat dan kondusif.
“Tujuan ini adalah sejajar dengan tema Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia bagi Tahun 2024 iaitu ‘Ubah Tanggapan, Bina Harapan’ dan tema bagi Sambutan Hari Kesihatan Mental Tahun 2024 adalah ‘Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja,” katanya lagi.
Hadir sama Pengarah Pusat Sejahtera, Paridah Mohd Ali, Pegawai-pegawai Kesihatan Daerah, Ketua-ketua Unit Bahagian Kesihatan Awam dan Pegawai Psikologi Negeri Pahang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 132 views