Skip to main content

UMPSA dan PDRM perkukuh kolaborasi strategik

KUANTAN, 2 Januari 2025 - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menjadi saksi bagi majlis bersejarah yang mengukuhkan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Majlis itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh keselamatan, pembangunan modal insan, dan kepimpinan generasi muda.

Menurut Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA berkata, pihak universiti menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM atas jemputan ke majlis yang signifikan ini. 

“Kerjasama antara UMPSA dan PDRM yang bermula sejak tahun 2009 telah menghasilkan pencapaian membanggakan dengan seramai 660 pelajar Kor SUKSIS ditauliahkan sebagai Inspektor hingga kini. 

“UMPSA amat berbangga dengan kejayaan ini dan berharap agar hubungan strategik ini terus diperkukuh melalui inisiatif-inisiatif berimpak tinggi,” ujarnya. 

Profesor Ts. Aida turut mencadangkan beberapa langkah untuk memperluaskan kerjasama ini, termasuklah peningkatan latihan praktikal bagi kadet Kor SUKSIS, penambahbaikan program keselamatan kampus, dan penubuhan Ikon Kepimpinan Keselamatan yang diinspirasikan oleh PDRM.

UMPSA dan PDRM perkukuh kolaborasi strategik

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, YDH Dato’ Sri Yahaya Othman dalam ucapannya turut mengiktiraf usaha UMPSA dalam melahirkan graduan yang berdisiplin tinggi dan berjiwa patriotik. 

Beliau turut memuji peranan Kor SUKSIS sebagai platform yang mengintegrasikan elemen keselamatan dan pembangunan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Ujarnya, kolaborasi ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tetapi juga memperkukuh kestabilan dan keselamatan komuniti secara menyeluruh. 

Dato’ Sri Yahaya turut menggariskan pentingnya program-program kesedaran seperti kempen keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah siber yang melibatkan komuniti kampus.

Turut berlangsung Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat kepada Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah  Abdul Munaim sebagai Asisten Komisioner Polis Kor SUKSIS (ACP/KS) merangkap Komandan Kor SUKSIS. 

Turut sama Pengurus Besar JHEPA, Haryani Abdullah sebagai Superintenden Polis Kor SUKSIS (Supt/KS) merangkap Timbalan Komandan Kor SUKSIS. 

Pengiktirafan ini merupakan simbol kepercayaan PDRM terhadap sumbangan besar UMPSA dalam membentuk pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan kepimpinan.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengarah Akademi A.D.AB, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar, Timbalan Pengarah Akademi A.D.A.B, Dr. Siti Umairah Mokhtar dan Yang Menjalankan Fungsi Pengurus Akademi A.D.A.B., Saharudin Ramli.

Turut sama hadir, Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali, Senior Assistant Commissioner, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Dato’ Mohd Yusri Othman, Senior Assistant Commissioner, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Dato’ Mohammad Shaharul Md Osman, Senior Assistant Commissioner, Ketua Cawangan Khas Pahang.

Disediakan Oleh: Saharudin Ramli, Akademik A.D.A.B

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri