Skip to main content

UMPSA kekal universiti teknikal nombor satu terbaik negara

PEKAN, 10 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kekal universiti teknikal terbaik negara apabila berada di tangga teratas di kedudukan nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk tiga tahun berturut-turut. 

Pengumuman Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 pada 9 Oktober 2024 telah menyenaraikan UMPSA di tangga ke 601-800 terbaik di dunia dan turut menyaksikan UMPSA berada di kedudukan nombor lapan terbaik di Malaysia dalam kalangan institusi awam dan swasta di negara ini.

UMPSA juga turut berada di tangga keenam terbaik universiti awam (UA) di Malaysia selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). 

UMPSA adalah sebuah UA ke-16 yang ditubuhkan oleh kerajaan dalam menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan UMPSA sebaris dengan universiti bertaraf dunia dan menghasilkan penyelidikan serta inovasi yang berkualiti dan berimpak di peringkat global. 

“Peningkatan UMPSA dalam indikator pengajaran turut mencerminkan kualiti akademik universiti ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

“Selain itu, impak penerbitan juga turut menjadi rujukan dalam kalangan ahli akademik terutamanya dalam bidang Sains dan Teknologi,” ujarnya. 

“Malahan, ini dibuktikan apabila seramai 20 penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World’s Top 2% Scientist bagi kategori Career- Long Achievement dan kategori Single Year Achievement berdasarkan Elsevier Database, Stanford University baru-baru ini. 

“Pencapaian ini menjadi sumber kebanggaan buat seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang telah menyumbang terhadap pencapaian UMPSA,” ujarnya. 

Beliau turut berharap agar semua warga UMPSA akan terus komited dan berusaha untuk meningkatkan kedudukan UMPSA pada masa hadapan. 

Ujar beliau lagi, bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul, UMPSA akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara yang cemerlang. 

“Selain itu, dalam konteks Pelan Strategik UMPSA 2021-2025, pelaksanaan projek kerjasama, menaik taraf kebolehan teknikal dan pembangunan produk yang menggunakan kepakaran teknikal UMPSA dan industri akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan hubungan baik antara UMPSA dan industri.

“UMPSA turut memfokuskan terhadap penyelidikan yang berimpak, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini terutamanya dalam bidang peralihan tenaga, kelestarian dan digitalisasi,” katanya. 

Times Higher Education (THE), World University Rankings adalah sistem penarafan peringkat global yang menilai prestasi universiti di seluruh dunia merangkumi pengajaran (29.5%), persekitaran penyelidikan, (29%), kualiti penyelidikan (30%), perspektif antarabangsa (7.5%) dan hubungan dengan industri (4%). 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri