Skip to main content

UMPSA memperkukuh kerjasama erat dengan Iwate University

PEKAN, 26 Januari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan kerjasama erat dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa dengan Iwate University. 

Baru-baru ini, Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menerima kunjungan delegasi daripada Iwate University yang diketuai oleh Presiden Iwate University, Profesor Dr. Satoshi Ogawa bersama Naib Presiden (Perhubungan Antarabangsa), Profesor Dr. Yoko Matsuoka, serta pegawai Pejabat Antarabangsa universiti tersebut.

Kerjasama antara UMPSA dan Iwate University yang bermula pada tahun 2009 telah berkembang dengan baik, khususnya melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM). 

UMPSA memperkukuh kerjasama erat dengan Iwate University

Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, kunjungan ini satu detik penting dalam memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak tahun 2009.

“Lawatan ini menjadi satu langkah penting untuk memperluaskan kolaborasi merangkumi lebih banyak fakulti dan bidang strategik di UMPSA.

“Saya sangat menghargai komitmen mereka yang sudi berkunjung ke UMPSA Pekan bagi meninjau sekitar kampus dan berbincang kolaborasi baharu. 

“Kerjasama UMPSA dengan Iwate University ini bukan perkara baharu kerana kerjasama ini telah terjalin menjangkau 17 tahun menjelang tahun ini,” ujarnya. 

Tambah beliau, turut dibincangkan bersama adalah berkaitan mobiliti pelajar dan staf, perkongsian akademik, penyelidikan serta penganjuran webinar bersama. 

“Saya berharap agar kerjasama berterusan antara UMPSA dan Iwate University ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, komuniti dan negara.

“Kami juga berharap lawatan ini dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang UMPSA, kemudahan serta hala tuju universiti, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama jangka panjang antara kedua-dua institusi,” tambahnya.

Sepanjang lawatan, delegasi Iwate University turut dibawa melawat sekitar kampus UMPSA bagi meninjau kemudahan akademik dan penyelidikan universiti, selain mengadakan sesi perbincangan berhubung potensi kerjasama masa hadapan.

Untuk rekod, kerjasama UMPSA dan Iwate University melibatkan pelbagai inisiatif termasuk program mobiliti pelajar dan staf, perkongsian akademik dan penyelidikan, penganjuran webinar penyelidikan bersama serta pengiktirafan antarabangsa menerusi Iwate University Global Fellow Award yang dianugerahkan kepada Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff atas sumbangan dalam pembangunan penyelidikan. 

Kolaborasi  ini akan terus memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa UMPSA sejajar aspirasi universiti ke arah kecemerlangan global dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali, Dekan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff, Pengarah Pusat Jaringan Global UMPSA (UMPSA Global), Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi dan Pengarah Kanan (Strategik dan Risiko), Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri