Skip to main content

UMPSA memperkukuh peranan pelajar dalam pertahanan negara melalui Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 3/2025 Rejimen 505 Askar Wataniah

JERANTUT, 20 September 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan pelajar dalam pertahanan negara menerusi penganjuran Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 3/2025 Rejimen 505 Askar Wataniah yang diadakan di Batalion Kedua, Kem Susur Tembeling, Jerantut. 

Majlis itu telah disempurnakan oleh Ketua Kompeni Alpha, Batalion Keempat Rejimen 505 Askar Wataniah UMPSA, Mejar Dr. Imaduddin Abidin

Turut hadir Penasihat Wataniah UMPSA, Mejar Ts. Hazami Che Hussin, bersama-sama pegawai serta jurulatih kursus. 

Ia diadakan seusai latihan simulasi medan iaitu serangan ke atas khemah musuh sementara yang turut menjadi demonstrasi terakhir oleh penutup kursus sebagi tanda menutup siri latihan intensif para peserta. 

Aksi berdisiplin dan penuh strategi itu telah membuktikan keberanian, ketahanan mental, dan penguasaan taktikal penuntut kursus. 

Kursus ini yang bermula pada 23 Ogos hingga 21 September 2025 telah dilaksanakan di Batalion Kedua, Kem Susur Tembeling, Jerantut. 

UMPSA memperkukuh peranan pelajar dalam pertahanan negara melalui Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 3/2025 Rejimen 505 Askar Wataniah

Seramai 37 pelajar berjaya menamatkan kursus, termasuk 19 orang pelajar UMPSA yang juga merupakan anggota Kompeni Alpha, Batalion Keempat Rejimen 505 AW. 

Kehadiran pelajar UMPSA sebagai anggota sukarela sekali gus mencerminkan sinergi antara universiti dengan angkatan sukarela dalam usaha memperkasa sahsiah kepimpinan, jati diri, dan daya tahan generasi muda. 

Sepanjang sebulan latihan, para pelajar telah mengharungi pelbagai modul bersepadu yang dirangka untuk membentuk seorang perajurit muda yang lengkap dari segi ketahanan fizikal, intelektual, serta disiplin.

Antara pengisian kursus ialah latihan jasmani, latihan kawad, latihan medan dan taktikal, kelas teori dan praktikal ketenteraan, penglibatan dalam sambutan hari kemerdekaan peringkat daerah jerantut dan pertandingan sukan

Setiap modul ini telah diatur bagi melengkapkan anggota sukarela yang yang memiliki disiplin diri tinggi, kepimpinan, serta daya juang yang tinggi. 

Kepelbagaian aktiviti ini turut menjadi medium untuk memupuk nilai kerjasama, semangat setiakawan dan sikap bertanggungjawab, selain meningkatkan penguasaan ilmu teori dan praktikal ketenteraan. 

Bagi menghargai pencapaian para pelajar, beberapa anugerah kecemerlangan telah disampaikan sendiri oleh Mejar Dr. Imaduddin Abidin. 

Kesemua penerima merupakan pelajar UMPSA yang telah membuktikan keupayaan mereka sepanjang kursus ini. 

Bagi Anugerah Kawad Terbaik dimenangi oleh pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), 6307458 PJM Muhammad Shariffudin Dharmadeydjaya dan Anugerah Akademik Terbaik pula dinobatkan juga pelajar FTKKP, 6307466 PJM Nurul Izzah Adriana Muhamad Norzaman.

Manakala bagi Anugerah Keseluruhan Terbaik dimenangin oleh pelajar FTKKP, 6307461 PJM Nurul Ain Syafia Mazni. 

Pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa generasi muda universiti juga mampu menggalas cabaran dunia ketenteraan dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan. 

Malah, kecemerlangan ini juga mencerminkan kejayaan UMPSA dalam melahirkan graduan yang berdaya tahan serta mampu menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara melalui platform sukarela ketenteraan. 

Menurut 6307461 PJM Nurul Ain Syafia Mazni, beliau menyatakan rasa syukurnya atas kejayaan ini. 

“Kursus ini benar-benar mencabar, namun ia memberi banyak pengajaran tentang disiplin, ketahanan diri dan semangat kerjasama. 

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang kursus ini. 

“Kejayaan ini bukan hanya milik saya, tetapi milik semua yang berjuang bersama sepanjang tempoh latihan,” ujarnya. 

Kata-kata beliau mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi roh utama Rejimen Askar Wataniah. 

Selain itu, ia turut membuktikan bahawa kaum wanita juga berupaya menyerlah dalam bidang ketenteraan sukarela, menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk tidak gentar menyahut cabaran.

Dalam ucapan perasmian penutup, Mejar Dr. Imaduddin menzahirkan penghargaan kepada semua penuntut atas komitmen yang tinggi, serta kepada jurulatih yang telah mencurahkan masa dan tenaga dalam mendidik perajurit muda. 

“Kursus seperti ini amat penting bagi melahirkan anggota Wataniah yang bukan sahaja berdaya tahan dan berdisiplin, tetapi juga sentiasa bersiap siaga mempertahankan kedaulatan negara.

“Setiap daripada anda adalah aset penting negara. 

“Disiplin, kekuatan mental dan fizikal yang anda miliki hari ini adalah asas kepada masa depan pertahanan negara,” tegas beliau. 

Majlis Penutup Kursus APMS Siri 3/2025 bukan sekadar simbolik menutup tirai latihan, tetapi juga menjadi titik permulaan baharu bagi para penuntut untuk terus berbakti. 

Dengan semangat kental yang ditonjolkan sepanjang kursus, mereka kini bersedia menyumbang tenaga dan keupayaan demi agama, bangsa dan negara. 

Disediakan Oleh: Mejar Ts. Hazami Che Hussin, Pusat Tvet Termaju (Ptvet) dan Mejar Dr. Imaduddin Abidin, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri