UMPSA pacu inisiatif Kecerdasan Buatan secara beretika
GAMBANG, 6 Disember 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memimpin perkembangan ilmu Sains dan Teknologi menerusi penganjuran Minggu AI yang bertemakan ‘To Create Awareness for Responsible AI to the Students and Community’.
Inisiatif ini bertujuan menyebarluaskan ilmu dan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) kepada masyarakat, khususnya di negeri Pahang Darul Makmur.
Justeru, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) telah menganjurkan Bengkel Etika dan Aplikasi Kecerdasan Buatan dalam Penyelidikan Sains Kemanusiaan dan Sains Sosial di Auditorium Perpustakaan, UMPSA Kampus Gambang.
Bengkel yang berlangsung pada 6 Disember 2024 itu disertai seramai 90 peserta, termasuk pelajar pascasiswazah, staf universiti dan wakil daripada pelbagai institusi pendidikan dan agensi luar seperti Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, Institusi Pendidikan Guru Malaysia, Kolej Vokasional, Universiti Islam Pahang Sulta Ahmad Shah (UNIPSAS) dan universiti awam (UA) lain.
Program itu dirasmikan oleh Dekan PSK, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said.
Bengkel sehari itu dikendalikan oleh Pensyarah PSK, Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham yang berkongsi ilmu dan panduan praktikal penggunaan pelbagai alat AI terkini seperti ChatGPT, Google Gemini, Claude, Jasper AI, dan Microsoft Copilot.
Peserta turut didedahkan kepada aplikasi AI untuk pelbagai tujuan, termasuk penciptaan kandungan, analisis data, reka bentuk visual, penyuntingan video dan audio, serta penggunaannya dalam pendidikan dan penyelidikan.
Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah PSK, Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman, bengkel ini merupakan satu usaha yang sangat signifikan untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pelajar siswazah serta pensyarah dalam memahami aplikasi AI dalam penyelidikan.
“Penerapan teknologi ini mampu meningkatkan kualiti penyelidikan universiti khususnya dalam bidang Sains Sosial dan Sains Kemanusiaan di PSK.
“Sekalung penghargaan atas penglibatan semua pihak, termasuk peserta dan pihak pengurusan.
“Terima kasih juga kepada Dr. Rohana Hamzah selaku Pengarah Program dan pasukan pentadbiran atas usaha menjayakan bengkel ini,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar program seperti ini akan dapat diteruskan sebagai langkah memupuk budaya ilmu dan penggunaan teknologi digital secara beretika dan bertanggungjawab di peringkat universiti dan masyarakat.
Penganjuran program ini juga adalah sejajar dengan inisiatif ‘Program Rakyat Digital’ oleh Kementerian Digital Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai etika dan integrasi teknologi AI dalam pelbagai sektor melalui jaringan kerjasama universiti, industri serta masyarakat.
Dengan langkah proaktif seperti ini, UMPSA terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu kemajuan ilmu dan teknologi di negara ini.
Disediakan Oleh: Dr. Rohana Hamzah Dan Farah Farhani Wan Zin, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)
- 97 views