Skip to main content

UMPSA perkasa TVET termaju dan mobiliti antarabangsa

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang merupakan sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasa Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebanyak 220 syarikat berpangkalan di China menawarkan tajaan pendidikan kepada lebih 5,000 pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET di republik berkenaan hasil perjanjian persefahaman yang dimeterai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Mahir dan Tang (M) International Education Group bersama Beifang Automotive Education Group (Beifang) serta Tang International Education Group.  

Manfaat ini turut melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan UMPSA yang baru-baru ini telah menandatangani MoU dengan pihak Belia Mahir dan Beifang Automotive Education Group bagi menjalani latihan ‘up-skill’ dalam menghasilkan tenaga kerja profesional mahir tersedia industri terhadap pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan (GE) di Malaysia. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, penganjuran MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET (MIAD) 2024 juga turut membincangkan tentang TVET Termaju terutamanya dalam kalangan universiti MTUN. 

“UMPSA juga terkehadapan dalam pelaksanaan Program Mobiliti Pelajar yang turut mempunyai implikasi yang besar dalam meningkatkan Global Competency pelajar di samping memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar dengan pengalaman luar negara. 

“Program mobiliti antarabangsa ini memberi peluang pelajar menjalani program ‘finishing school’ dan latihan kursus kompetensi tambahan di institusi luar negara daripada usaha universiti dalam pembangunan karakteristik pelajar TVET yang berdaya saing. 

“Kolaborasi dengan BAEG juga turut manfaatkan perkongsian kepakaran dan peralatan latihan, pertukaran staf dan pelajar, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), seminar dan latihan TVET, kebudayaan dan mobiliti program, penyelidikan dan penerbitan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, kerjasama bagi memperluas program mobiliti dengan pensijilan kompetensi TVET termaju dari institusi latihan atau industri di China dilihat menyokong usaha kerajaan dalam menghantar bakat muda negara menerusi kemahiran berteknologi tinggi. 

“Selain itu, ia mampu membawa masuk mahasiswa antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan premium dan menyokong usaha Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) yang dilaksanakan di UMPSA. 

“Dengan sokongan pihak KPT terutamanya pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar JPT, UMPSA sebagai universiti peneraju program MyChat24 akan menawarkan program ini kepada pelajar, graduan mahupun staf IPT untuk turut serta meningkatkan kemahiran melalui program up-skill atau sijil kompetensi dalam bidang berkaitan Kecerdasan Buatan (Artificial  Intelligence), Electric Vehicle (EV),, Hydrogen Vehicle (HV), Heritage Railway Technology, e-Commerce, Advanced Manufacturing Automation (Robotic), Good Manufacturing Practices (GMP), Data Science, Analytics, Health Sciences dan Chinese Cultural & Heritage,” ujarnya. 

Katanya lagi, kolaborasi strategik ini menyaksikan kerjasama PKPB dan TANG International Education (China) di bawah usaha Malaysia-China Institute (MCI) melalui Belt & Road Initiative (BRI) China terhadap pelaksanaan Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program (MYCHAT) di China. 

“Sehingga kini, seramai 20 peserta berjaya mendapat persijilan profesional di bawah MYChAT yang telah memberi peluang peserta dalam bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) di Beijing Polytechnic.

“Manakala seramai 30 peserta termasuk pelajar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengikuti latihan di Pusat Latihan Automotif Beifang Beijing, China dengan latihan pengkhususan kepada Bidang Kejuruteraan Automotif berfokus kepada Teknologi Kenderaan Elektrik (EV) dan Kenderaan Hidrogen (HV). 

“Bagi Fasa 3: Program MyCHAT-24 akan diadakan di Liuzhou Railway Vocational Technical College bermula 22  hingga 28 Jun 2024 ini dengan tumpuan bidang fokus Railway Engineering melibatkan penyertaan seramai 34 orang peserta,” ujarnya. 

Mereka ini jelas beliau, bakal menerima Sijil Kompetensi Railway Engineering daripada Liuzhou Railway Vocational Technical College setelah tamat program. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie hadir bersama Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Muhammad Haykal Halid untuk berkongsi pengalaman dalam Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program (MYCHAT) di China. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit