UMPSA rai pengamal media dan rakan strategik dalam Majlis Iftar
KUANTAN, 19 Mac 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini mengadakan Program Kolaborasi dan Majlis Iftar bersama pengamal media dan rakan strategik di Hotel Mega View, Kuantan sebagai satu inisiatif memperkukuh hubungan baik serta apresiasi kepada peranan media dalam menyampaikan maklumat dan menyokong perkembangan universiti.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada media atas peranan penting mereka dalam menyebarluaskan pencapaian dan inisiatif universiti kepada masyarakat.
“Keterlibatan media dalam menyampaikan maklumat dan berkongsi perkembangan UMPSA amat kami hargai.
“Dengan liputan yang diberikan, UMPSA semakin dikenali sebagai sebuah universiti teknologi yang melahirkan jurutera dan teknologis berdaya saing.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap kelestarian, UMPSA terus cemerlang sebagai universiti teknologi paling lestari di Malaysia apabila berada di tangga ke-62 dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings (UIGWUR) 2024,” ujarnya yang berkongsi perkembangan UMPSA.
Kejayaan ini katanya turut menyaksikan UMPSA berada di kedudukan nombor satu terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan tempat keempat terbaik di Malaysia daripada 60 institusi pendidikan tinggi (IPT) yang tersenarai.
“Selain itu, UMPSA juga berjaya mencapai sasaran pengurangan karbon dan mendapat penarafan 4 Diamond dalam Low Carbon City 2030 Challenge bagi Kampus Pekan dan 2 Diamond bagi Kampus Gambang.
“Dalam konteks akademik pula, UMPSA terus mengorak langkah ke peringkat antarabangsa apabila tujuh subjeknya turut tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2025.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan inovasi,” ujar beliau.
UMPSA berhasrat menjadi pusat kecemerlangan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi rantau ini atau ASEAN Advanced TVET Hub dengan memperluaskan kerjasama strategik bersama universiti di Indonesia dan Thailand serta meningkatkan program pertukaran pelajar dan staf.
Profesor Dr. Yatimah turut mengumumkan tawaran khas kepada para petugas media yang berminat untuk menyambung pengajian di universiti ini.
Program akademik fleksibel dalam bidang teknologi dan pengurusan industri disediakan bagi memberi peluang kepada media untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.
Selain program berbuka puasa, UMPSA juga turut mengadakan pelbagai aktiviti Ramadan seperti Moh Sahur bersama RTM Pahang, Singgah Sahur@Pekan, Masak Bubur Lambuk, Majlis Khatam al-Quran dan Qiamullail yang bertujuan memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan warga universiti serta masyarakat setempat.
Program ini adalah merupakan acara tahunan anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK) yang diadakan bertujuan menyantuni dan menghargai petugas media yang bertungkus lumus menyajikan berita terkini kepada masyarakat, di samping memupuk ikatan silaturahim.
Beliau berharap agar hubungan silaturahim yang telah terjalin sejak 23 tahun ini akan terus diperkukuh antara UMPSA dengan rakan media dan rakan kolaborasi khususnya dalam menyalurkan berita dan berkongsi maklumat dari semasa ke semasa demi kepentingan masyarakat, khususnya dalam meningkatkan tahap pendidikan tinggi rakyat di negara ini.
“Semoga Ramadan ini menjadi ruang untuk kita memperbanyakkan amalan baik dan mengeratkan ukhuwah.
“Terima kasih kepada semua rakan media atas sokongan yang berterusan kepada UMPSA,” ujarnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad, Pendaftar, Dato’ Saiful Ahmad Bakarim dan Pengarah PKK, Mimi Rabita Abdul Wahit.
Turut sama Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Muhammad Khairunizam Abdul Salam, Ketua Biro News Straits Times, Alagesh a/l Theruvarul Nathan, Ketua Biro Bernama, Sakini Mohd Said dan lain-lain.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan, Pusat Komunikasi Korporat
- 88 views