UMPSA santuni 59 orang anak yatim dan miskin Nur Iman berbuka puasa
KUANTAN, 7 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh nilai kebersamaan dan keprihatinan sosial menerusi penganjuran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Majlis Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Kampung Kempadang, di sini hari ini.
Program anjuran Jabatan Canseleri dengan kerjasama Yayasan UMPSA itu diadakan bersempena dengan inisiatif ‘Indahnya Ramadan’ yang bertujuan menyantuni golongan memerlukan dan mengeratkan hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat.
Hadir menyerikan program ialah Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama anak-anak penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Turut hadir Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Ketua Pustakawan, Kamariah Gono, Pengerusi Pertubuhan Rumah Kebajikan Nak Yatim Dan Miskin Nur Iman, Ustaz Haji Badrul Huzaini, barisan pengurusan tertinggi universiti serta warga Jabatan Canseleri dan Yayasan UMPSA.
Profesor Ts. Dr. Yatimah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan menzahirkan komitmen universiti dalam memperkasakan aktiviti kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial.
“Kehadiran warga UMPSA ke rumah kebajikan ini sejak awal pagi memberikan semangat dan keceriaan kepada seramai 59 orang anak-anak yang berusia lingkungan 5 hingga 17 tahun yang tinggal di sini,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan institusi pendidikan tinggi dalam menyantuni komuniti, khususnya golongan memerlukan.
Katanya, UMPSA sentiasa komited untuk mendekati masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebegini.
“Kita mahu warga universiti bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga prihatin terhadap kebajikan insan di sekeliling,” tambahnya.
Program bermula pada sebelah pagi dengan sesi gotong-royong memasak untuk menyediakan juadah berbuka dan aktiviti STEM bersama anak-anak di sini.
Program CSR ini adalah antara sebahagian daripada inisiatif tahunan UMPSA dalam memastikan universiti terus dekat dengan masyarakat serta menerapkan nilai ihsan dalam kalangan warga kampus.
Beliau turut mengharapkan program seumpama ini dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang demi kesejahteraan bersama.
“Program seperti ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim dan asnaf, malah memberi peluang kepada warga universiti untuk berkongsi rezeki serta menyemarakkan semangat Ramadan yang penuh keberkatan.
“UMPSA sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat dan menyantuni golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut berpeluang berinteraksi bersama anak-anak rumah kebajikan selain menyampaikan sumbangan dan berbuka puasa bersama.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh hubungan antara universiti serta komuniti setempat.
Selain program berbuka puasa, UMPSA juga turut mengadakan pelbagai aktiviti Ramadan seperti Singgah Sahur@Pekan, Masak Bubur Lambuk, Majlis Khatam al-Quran, Qiamullail dan lain-lain.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views