UMPSA santuni komuniti edar bubur lambuk bersempena dengan Program Indahnya Ramadan
KUANTAN, 9 Mac 2026 - Dalam menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan tradisi berkongsi rezeki dengan menganjurkan Program Bubur Lambuk di pekarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Indahnya Ramadan’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu menyaksikan penyediaan dan pengagihan bubur lambuk kepada komuniti setempat serta pengunjung masjid.

Seawal jam 7.00 pagi, pasukan petugas UMPSA telah memulakan persiapan dengan membawa bahan-bahan memasak dari UMPSA Kampus Gambang sebelum aktiviti memasak bubur lambuk dilakukan secara gotong-royong oleh warga universiti.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang bersama-sama turun padang mengedar bubur lambuk kepada komuniti di sekitar masjid.
Hadir sama Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, program seperti ini bukan sahaja menghidupkan tradisi Ramadan, malah mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.
“Program pengagihan bubur lambuk ini menjadi platform terbaik untuk warga UMPSA berkongsi rezeki dan menyantuni komuniti, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
“Inisiatif ini juga turut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh nilai kebersamaan dan kesukarelawanan dalam kalangan warga kampus,” ujarnya.

Sebanyak sembilan kawah bubur lambuk dan dua kawah gulai daging yang diagihkan kepada orang ramai ini merupakan sumbangan daripada Yayasan UMPSA, Isuzu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi serta orang persendirian.
Sebanyak 3,000 bekas diagihkan kepada komuniti di sekitar kawasan masjid pada kali ini.
Inisiatif ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat selain memupuk semangat berkongsi rezeki dalam kalangan warga UMPSA sepanjang bulan Ramadan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views