UMPSA santuni pelajar sekolah galak STEM di Tuaran
TUARAN, 1 Mac 2024 - Pengurusan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni pelajar sekolah dan menggalakkan pelajari STEM yang melibatkan Kampung Kiwatu, Kampung Batangan, Kampung Roun dan Kampung Serusop serta sekitar Tuaran yang menyasarkan usaha untuk memberi inspirasi kepada golongan muda dan pelajar B40.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA hadir bagi memberi nasihat dan menyampaikan sumbangan kalkulator buat pelajar sekolah menengah di sini.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Nurul Norasikin Mohd Nordin yang mewakili Pertubuhan Raudhah Rizqi.
Menurutnya Profesor Dato’ Dr. Yuserrie, usaha ini sebagai mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG keempat bagi menjamin pendidikan berkualiti bagi menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuliti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua lapisan umur dari pelbagai bangsa dan agama.
“Ini bukan sahaja dapat melahirkan anak muda yang berkemahiran dan berkalibar, malah dapat melahirkan rakyat yang berilmu serta menyumbang terhadap masa depan keluarga,” katanya.
“Pelajar akan menerima sumbangan peralatan persekolahan daripada pihak Yayasan UMPSA dan Pertubuhan Raudhah Rizqi termasuklah set alat tulis, kalkulator saintifik dan set geometri.
“Melalui program ini, pihak universiti berharap ia dapat menjadi motivasi untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan semangat baharu,” katanya.
Program ini adalah sebahagian daripada program yang dijalankan sempena Program Kembara Prihatin@Negeri di bawah Bayu 2.0 yang melibatkan 60 sukarelawan UMPSA Kilau daripada Skuad Yayasan UMPSA bersama rakan kerjasama iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Politeknik Kota Kinabalu.
Ia bertujuan untuk menyantuni masyarakat di Tuaran menerusi program-program yang berkaitan dengan teknologi, pendidikan dan komuniti.
Dalam pada itu, para peserta turut berpeluang tinggal bersama keluarga angkat masing-masing bagi mengeratkan hubungan dengan penduduk Kampung Batangan, Kiwatu, Roun, Serusup, Selupoh, Dungang Baru dan Labuaya.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat