UMPSA sertai program MAGNET 2024: Platform perpaduan pelajar antarabangsa
PUTRAJAYA, 27 November 2024 – Program Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Taman Botani Putrajaya, dengan menghimpunkan seramai 658 pelajar antarabangsa daripada pelbagai buah negara.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu telah mencatat sejarah baharu apabila Berjaya mencipta rekod ‘Most International Student Participants in an Explorace Competition’.
Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir meluangkan masa dan mengunjungi reruai pameran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut beliau, program seperti MAGNET ini membuktikan Malaysia adalah destinasi pilihan pelajar antarabangsa bukan sahaja untuk pendidikan tetapi juga untuk pengalaman budaya yang kaya.
“Kepelbagaian yang ditonjolkan hari ini menjadi asas kepada kekuatan hubungan antarabangsa yang lebih erat,” ujarnya.
Beliau diiringi oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.
Profesor Ts. Dr., Aida turut memperkenalkan pelbagai inisiatif universiti dalam memperkukuhkan hubungan antara pelajar antarabangsa.
Katanya, UMPSA komited untuk menjadi platform utama dalam memupuk perpaduan dan pertukaran budaya dalam kalangan pelajar antarabangsa.
“MAGNET 2024 bukan sahaja mencerminkan kekayaan kepelbagaian budaya di Malaysia tetapi juga mewujudkan peluang kolaborasi belia yang lebih erat,” katanya.
Manakala menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, penyertaan aktif seperti ini bukan sahaja memperkenalkan budaya unik mereka kepada masyarakat tempatan tetapi juga mengukuhkan integrasi antara pelajar antarabangsa dan komuniti kita,” katanya.
Dengan penglibatan UMPSA dan institusi lain, MAGNET 2024 telah berjaya mencipta impak mendalam dalam memperkukuhkan Malaysia sebagai hab pendidikan dan pertukaran budaya global.
Program MAGNET 2024 menyaksikan penglibatan reruai pameran daripada semua universiti awam (UA) dan beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Setiap reruai mempamerkan identiti budaya pelajar antarabangsa masing-masing daripada pelbagai negara dalam usaha untuk memperkukuh semangat perpaduan dan pertukaran budaya.
Reruai UMPSA menyerlah dengan mempamerkan variasi budaya dari Yaman melalui penyertaan aktif pelajar antarabangsanya.
Keunikan yang dibawa termasuklah demonstrasi pakaian tradisional seperti imamah, hidangan manisan seperti Basboosah, Makhloot, Hareesah, dan Mulabaniah, serta kopi tradisional Yaman berjaya menarik perhatian Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry.
Beliau turut berkesempatan menikmati sajian tersebut dan memuji usaha UMPSA dalam memperkenalkan budaya unik ini kepada masyarakat antarabangsa.
Manakala Explorace pula adalah aktiviti yang menjadi tumpuan program yang melibatkan perjalanan sejauh 15 kilometer dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk diselesaikan.
UMPSA menghantar tiga kumpulan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara seperti Bangladesh, Pakistan, Jordan, Indonesia, India, Sudan, Mesir, dan China.
Aktiviti ini turut menguji kekuatan fizikal, kreativiti, dan kerjasama pasukan, serta mencerminkan semangat perpaduan yang luar biasa.
Menurut salah seorang peserta Explorace, Arif Hossen dari Bangladesh, pengalaman ini amat berharga buat dirinya.
“Explorace ini memberikan saya peluang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan daripada pelbagai negara.
“Kami belajar menghargai perbezaan dan membina persahabatan baharu.
“Malaysia benar-benar tempat yang unik dengan budaya yang menyatukan pelbagai bangsa,” katanya dengan penuh semangat.
Di samping itu juga, pelbagai permainan tradisional Malaysia seperti congkak, batu seremban, dan lain-lain turut disediakan bagi memperkenalkan warisan budaya tempatan kepada pelajar antarabangsa, sekali gus memupuk penghargaan terhadap seni dan tradisi Malaysia.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA)
- 39 views