Skip to main content

UMPSA teroka kerjasama dengan Jonetsu Company Inc. Jepun bagi ekosistem inklusif

PEKAN, 29 Mei 2025- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) teroka kerjasama dengan Jonetsu Company Inc. dalam berkongsi kepakaran dan amalan terbaik bagi mewujudkan ekosistem inklusif yang lestari melalui jalinan kerjasama antarabangsa ke arah memberdayakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dengan teknologi, inovasi, dan pendidikan.

Syarikat Jonetsu Company Inc. merupakan sebuah syarikat yang mempunyai lebih 50 peratus pekerja dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang mengusahakan ladang pertanian meliputi padi, sayur- sayuran dan buah-buahan di Tokusihima, Jepun.

Pendekatan inklusif yang dilaksanakan membolehkan Jonetsu menjadikan sektor pertanian sebagai infrastruktur sosial yang mampu menangani isu pekerjaan luar bandar, pembangunan ladang komuniti ‘ikigai’, penyelidikan kompos daripada sisa makanan serta kerjasama strategik bersama institusi akademik.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Jonetsu Company Inc. Japan, Miki Yoshikazu.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, selain perkongsian amalan terbaik di peringkat antarabangsa, kerjasama ini juga dilihat mampu mengadaptasi teknologi bagi menyokong keperluan OKU dalam kehidupan harian dan pembangunan kemahiran.

“UMPSA memainkan peranan strategik sebagai Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif (HATi) dan Pusat Sehenti Inklusif Rujukan, Latihan dan Komuniti Hibrid yang digerakkan oleh komuniti aktivis teknologis setempat serta sejagat. 

“Usaha ini merealisasikan Agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 menerusi Objektif Strategik Kecemerlangan Ekosistem. 

“Salah satu agenda kesejahteraan warga kampus adalah untuk memfokuskan kesihatan dan keselamatan warga UMPSA yang akan turut memberi tumpuan terhadap golongan OKU,” ujarnya. 

Tambah belau lagi, ini termasuklah berkaitan komuniti OKU iaitu had fungsi dan halangan dari segi aksesibiliti dan mobiliti melalui pengoptimuman teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT), Data Raya (Big Data), dan Realiti Terimbuh (XR).

Program itu berlangsung sempena Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah penganjuran International Carnival on Inclusive Technology and Ecosystem (iNCLUSIVE) 2025 yang dirasmikan Ahli Parlimen Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Isaiah D Jacob.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Tugas-tugas Khas, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Dato’ Mohd Suhaimi Jaafar, Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim, Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak dan Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, Cikgu Mohammad Hazeem Azemi.

iNCLUSIVE 2025 buat julung kalinya dianjurkan adalah berfokus kepada ‘Teknologi dan Ekosistem Inklusif’ sebagai pemberdaya komuniti inklusif khususnya golongan berkeperluan khas.

Peserta merangkumi pakar akademik dan para pelajar OKU daripada seluruh negara, anak-anak yatim, agensi, industri tempatan dan antarabangsa seperti Jepun, Indonesia dan Sweden. 

Lain-lain aktiviti adalah pameran daripada agensi dan industri berkaitan inklusif, persidangan maya, pertandingan inovasi dan klinik E-Sukan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad