UMPSA terpilih sebagai finalis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi (AKRI) 2025
GAMBANG, 22 Ogos 2025 - Inovasi pengajaran Kalkulator Celik Kos (KCK) yang dibangunkan oleh Dr. Mohamad Reeduan Mustapha bersama ahli kumpulan, Dr. Norwazli Abdul Wahab dan Dr. Rusnifaezah Musa, pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysoa Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah terpilih sebagai Finalis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025.
Pasukan di bawah pimpinan Dr. Mohamad Reeduan bersama ahli-ahli kumpulannya akan membawa inovasi ini ke sesi pitching akhir yang bakal berlangsung pada 3 September 2025 di The Everly Putrajaya.
Pencapaian ini meletakkan KCK dalam kalangan projek paling inovatif di peringkat kebangsaan yang bersaing untuk merangkul anugerah dalam kategori Pengajaran Transformatif.
Anugerah AKRI yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bertujuan untuk mengenal pasti dan meraikan kaedah pengajaran yang telah berjaya mentransformasikan pengendalian sesuatu kursus secara efektif.
Fokus utama anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pendekatan yang meningkatkan keterlibatan dan pembelajaran aktif pelajar, sama ada secara interaktif atau tanpa syarahan tradisional.
Menurut Dr. Mohamad Reeduan, Konsep Pengiraan Kos Melalui Pendekatan Praktikal (KCK) ialah sebuah alat bantu pengajaran interaktif yang dibangunkan untuk membantu pelajar menguasai teknik-teknik perakaunan pengurusan yang kompleks, khususnya dalam topik 'absorption costing' dan 'activity-based costing' (ABC).
“Alat ini direka bagi menentukan margin keuntungan dan titik pulang modal sesuatu produk atau perkhidmatan dengan lebih mudah dan berkesan.
“Melalui KCK, pembelajaran teori digabungkan dengan aplikasi praktikal yang dinamik.
“Pelajar bukan sekadar membuat pengiraan, tetapi dapat membandingkan kaedah peruntukan kos yang berbeza serta menganalisis kesannya terhadap keputusan pengurusan secara langsung,” katanya.
Jelas beliau lagi, pendekatan 'hands-on' ini membolehkan pelajar memahami implikasi sebenar setiap keputusan kewangan, seterusnya mengukuhkan pemahaman konsep serta kemahiran analitis mereka.
“Pencapaian sebagai finalis ini merupakan pengiktirafan terhadap kejayaan KCK dalam memenuhi objektif AKRI melalui transformasi pembelajaran yang lebih aktif dan interaktif.
“Kaedah interaktif melalui KCK berjaya menarik minat pelajar untuk terlibat secara aktif dalam sesi pembelajaran, berbeza dengan kaedah pembelajaran tradisional yang lebih berpusat kepada pengajar.
“Pendekatan ini membolehkan pelajar belajar melalui penerokaan dan eksperimen secara langsung, seterusnya membawa kepada kefahaman yang lebih mendalam dan berkekalan dalam menguasai konsep pengiraan kos,” ujarnya.
KCK ini telah mengubah sebahgaian landskap penyampaian Kursus Pengurusan Perakaunan secara signifikan, menjadikannya lebih relevan, dinamik dan berorientasikan aplikasi industri sebenar.
Tambah beliau, transformasi ini adalah selaras dengan matlamat AKRI untuk meningkatkan keterlibatan pelajar serta memupuk pembelajaran aktif yang berkesan.
Dalam pada itu, pasukan ini akan berpeluang untuk membentangkan keunikan dan keberkesanan KCK di hadapan panel juri bagi sesi pitching akhir Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif 2025.
Selain itu, program ini merupakan platform terbaik untuk mempamerkan komitmen UMPSA dalam mendidik generasi akan datang tentang celik kewangan dan pengurusan kos, seterusnya melahirkan graduan yang celik teknologi serta bersedia untuk menghadapi cabaran industri.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat dan Dr. Mohamad Reeduan Mustapha, Fakulti Pengurusan Industri
- 205 views