Skip to main content

UMPSA, UM dan 6 agensi anjur Program Derma Darah Nasional di Kuantan

KUANTAN, 20 April 2024 – Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 (PEKA2), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan enam agensi terkemuka di Kuantan telah menganjurkan Program Derma Darah Nasional pada 20 dan 21 April di Kuantan City Mall. 

Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam menangani masalah kekurangan bekalan darah yang semakin meruncing.

Program ini adalah hasil dari kerjasama dengan agensi tempatan yang terdiri dari Kuantan City Mall, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pertubuhan Komuniti Harap Kuantan, Wanita Inspirasi Kuantan, Sahabat Telekung Kuantan, dan Kota Kanopi. 

UMPSA, UM dan 6 agensi anjur Program Derma Darah Nasional di Kuantan

Kesemua pihak telah berganding bahu untuk menjayakan program ini yang bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan darah dalam kalangan penduduk.

Kolaborasi bersama Kelab National Blood Donation (NBD) itu juga membuktikan bahawa usaha bersama mampu mencapai matlamat bersama dalam membantu masyarakat setempat. 

Para penyumbang darah, sukarelawan, dan wakil-wakil dari agensi yang terlibat turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong program ini.

Menurut Pengurus Program, Putera Mikael Heikal Shyaiful Affandi, kerjasama yang kukuh antara universiti dan komuniti tempatan adalah penting dalam membangunkan inisiatif yang bermanfaat kepada masyarakat. 

“Program Derma Darah Nasional ini adalah contoh yang baik iaitu kekuatan gabungan boleh membawa impak positif kepada kehidupan manusia,” katanya. 

Sementara itu, menurut Pengetua Residen Pelajar 2, Nasrul Salim Pakheri, kami di UMPSA sangat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk membantu mereka yang memerlukan. 

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima darah, tetapi juga turut memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat sekitar.

“Program Derma Darah Nasional ini telah berjaya menarik penyertaan lebih dari 300 orang dalam tempoh dua hari dengan kesemua peserta menyumbangkan darah mereka secara sukarela.

“Sumbangan darah ini akan disalurkan kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukan,” ujarnya. 

Melalui kolaborasi ini jug katanya, masyarakat di Malaysia diingatkan tentang kepentingan memberi sumbangan darah secara berkala. 

“Ia bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa, tetapi juga memberikan harapan kepada mereka yang sedang berjuang dalam rawatan perubatan.

“Diharapkan, program ini akan menjadi usaha yang berterusan memberi bakti sosial di masa akan datang dan dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat kepada semua,” katanya. 

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Residen Pelajar 2

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News