Warga UMPSA sahut seruan Jom Baca Buku 10 Minit
GAMBANG, 23 April 2024 - Membaca jambatan ilmu. Semakin banyak membaca, semakin bertambah ilmu pengetahuan.
Program Jom Membaca Bersama 10 Minit telah dianjurkan oleh Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi meraikan Hari Buku yang dijadikan acara tahunan bagi memupuk sikap suka membaca dalam kalangan warga universiti.
Program ini dijalankan serentak bermula pukul 11.00 pagi hingga 11.30 pagi di kedua-dua kampus UMPSA, Pekan dan Gambang.
Menurut Pustakawan UMPSA, Muhammed Fawwaz, Abdul Rasid, dianggarkan lebih 200 pelajar dan staf yang mengambil bahagian di dalam program ini.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga dan Persekitaran, Subeksha a/p Kannan berkata, program seperti ini mampu untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.
“Program seperti ini wajar diadakan dengan lebih kerap supaya budaya membaca buku dapat diteruskan,” katanya.
Sofia Afifah Hazemi, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pula merasakan pelajar zaman sekarang kurang gemar membaca buku kerana telah beralih minat kepada bahan bacaan digital.
“Namun, program seperti ini mampu menerapkan semula budaya membaca dalam kalangan pelajar.
“Buku tetap menjadi sumber rujukan utama dalam pembelajaran kami”.
Sebanyak 59 penyertaan diterima oleh Perpustakaan UMPSA ketika mengajurkan pertandingan buat semua warga UMPSA untuk berkongsi gambar paling kreatif dan menarik semasa membaca.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 209 views