Yayasan UMP hulur sumbangan bantu mangsa banjir
JERANTUT, 11 Januari 2021 - Seramai 100 orang mangsa banjir di Jerantut menerima sumbangan bantuan kit makanan dan keperluan barang asas serta kit kebersihan diri daripada Yayasan UMP dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dalam Program Ziarah UMP-KPT Prihatin bagi membantu mereka yang masih menginap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Jerantut.
Antara yang menerima bantuan termasuklah penduduk dari Kampung Paya Gunung, Kampung Paya Garuk, Tanah Rong, Kampung Pedah, dan Kampung Simpang Tebing Tinggi yang dilanda banjir baru-baru ini.
Hadir menyantuni mereka ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Turut sama turun padang ialah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Mohd Sharil Abdullah, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz, pihaknya bersimpati dan mengambil berat akan keadaan semasa yang sedang dihadapi oleh mangsa banjir di beberapa daerah di negeri Pahang.
“Sumbangan ini sebagai keprihatinan universiti membantu mereka yang memerlukan.
“Sukarelawan UMP turut berganding bahu membersihkan rumah penduduk yang tenggelam semasa banjir.
“Diharapkan agar bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir,” katanya.
Yayasan UMP turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para dermawan untuk sama-sama menyumbang ke Tabung Bencana UMP bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat.
Bantuan disediakan berbentuk keperluan asas, barang dapur, kelengkapan selimut dan juga kit kebersihan.
Dalam pada itu, sukarelawan diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu kerana keselamatan tetap menjadi keutamaan.
Seramai 25 orang sukarelawan dalam kalangan pelajar dan staf UMP bergotong-royong membersihkan rumah pelajar yang terjejas akibat bencana banjir di sini.
Sukarelawan mula menjalankan gotong-royong seawal jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.
Inisiatif membersihkan rumah ini adalah sebagai usaha bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 130 views