Bengkel penerbitan IPS tingkat kemahiran hasilkan jurnal berimpak tinggi
Kuantan, 26 Oktober- Dalam meningkatkan kompentasi dan penerbitan dalam kalangan pelajar pasca siswazah, Institut Pengajian Siswazah (IPS) universiti ini mengadakan Publication Training Workshop for Postgraduate yang berlangsung di Bangunan Canseleri, UMP Gambang. Bengkel yang diadakan selama dua hari ini membabitkan seramai 58 peserta ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta tentang bagaimana dan kaedah untuk menerbit kertas penyelidikan mereka di dalam mana-mana Scopus atau jurnal yang berimpak tinggi.
Dalam pada itu juga, peserta juga diberi peluang untuk sesi individu bersama penceramah jemputan dalam membantu peserta memperbaiki kertas penyelidikan mereka agar berpotensi untuk diterbitkan pada Scopus dan ataupun jurnal berimpak tinggi.
Dekan Institut Pengajian Siswazah, Prof. Dato' Dr Hasnah Haron berkata, menggunakan Kaedah One to One, peserta dibimbing secara terus oleh penceramah jemputan. Ini termasuklah penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memantapkan gaya penulisan bagi kertas penyelidikan mereka tersebut.
“Selain itu, peserta juga didedahkan cara bagaimana untuk menerbitkan kertas penyelidikan di Scopus atau jurnal berimpak tinggi, secara tidak langsung akan menggalakkan peserta untuk menerbitkan lebih banyak kertas penyelidikan berkualiti pada masa akan datang dan meningkatkan kompetensi dan kualiti pelajar-pelajar pasca siswazah UMP,” katanya.
Bengkel ini dikendalikan oleh para penceramah jemputan yang tidak asing lagi dalam penerbitan Scopus dan jurnal berimpak tinggi di Malaysia. Penceramah jemputan bagi kluster Teknologi dan Sains Sosial adalah Prof. Dr Hazlina Ahmad dan Prof. T. Ramayah daripada Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia.
Manakala bagi kluster Kejuruteraan dan Sains, penceramah adalah Prof. Mustafizur daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UMP dan Prof. Madya Dr Cheng Chin Kui daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, UMP. Dalam pada itu, Prof Dato' Dr Hasnah mengharapkan para siswazah dapat memanfaatkan program ini dan mampu untuk menghasilkan lebih banyak kertas penyelidikan yang berimpak tinggi.
Disediakan oleh Ahmad Zarif Ahmad Fauzi dari Institut Pengajian Siswazah.
- 170 views