Skip to main content

Bukan sekadar ijazah, graduan FPI UMPSA kini dilengkapi Pensijilan Profesional Lean Six Sigma

Gambang, 23 Januari 2026 — Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited melahirkan graduan yang holistik, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri apabila Fakulti Pengurusan Industri (FPI) berjaya menganjurkan Program Pensijilan Kompetensi: Lean Six Sigma@Yellow Belt melibatkan pelajar prasiswazah fakulti tersebut pada 17 hingga 19 Januari 2026. 

Menurut Pensyarah Kanan FPI, Ts. Dr. Azian, program intensif selama 20 jam kredit dengan penyertaan aktif pelajar yang menunjukkan tahap komitmen dan disiplin yang tinggi sepanjang pelaksanaan program. 

“Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik fakulti bagi memastikan graduan FIM bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki pensijilan profesional yang diiktiraf industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan FIM pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Bukan sekadar ijazah, graduan FIM UMPSA kini dilengkapi Pensijilan Profesional Lean Six Sigma

“Sepanjang program, para peserta telah didedahkan kepada konsep dan aplikasi Lean Six Sigma secara menyeluruh merangkumi aspek teori dan praktikal. 

“Antara fokus utama ialah pendekatan Define, Measure, Analyze, Improve dan Control (DMAIC) yang menjadi teras kepada pelaksanaan projek penambahbaikan proses dalam organisasi. Peserta turut mempelajari Six Sigma Statistics, penggunaan Process Analysis Tools, serta aplikasi perisian Minitab bagi menyokong analisis data dan pembuatan keputusan berasaskan bukti,” katanya. 

Tambahnya, pendekatan pembelajaran berorientasikan praktikal ini memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang aplikasi Lean Six Sigma dalam situasi industri sebenar, khususnya dalam meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran dan menambah baik kualiti proses kerja merentas sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian peserta, program ini turut melibatkan peperiksaan Pensijilan Yellow Belt FIM–UMPSA, di samping pensijilan White Belt yang dianugerahkan oleh The Council for Six Sigma Certification (CSSC), sebuah badan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa. 

“Pensijilan ini memberi nilai tambah yang signifikan kepada graduan FIM dan meningkatkan keyakinan majikan terhadap kompetensi serta kebolehan graduan UMPSA.

“Lebih membanggakan FPI turut telah diiktiraf secara rasmi sebagai Accredited Six Sigma Training and Certification Provider oleh CSSC berkuat kuasa Januari 2026 yang membolehkan fakulti menawarkan program pensijilan Lean Six Sigma yang mematuhi piawaian global, sekali gus memperkukuh kredibiliti fakulti sebagai pusat latihan profesional yang berkualiti,” katanya. 

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pusat TVET Termaju atas penajaan dan sokongan penuh yang diberikan bagi menjayakan pelaksanaan program ini. 

“Sokongan strategik tersebut telah membuka peluang kepada pelajar FPI memperoleh pensijilan profesional tanpa menanggung beban kewangan, selari dengan usaha memperkasakan pendidikan TVET dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan program ini dengan cemerlang dan barisan jurulatih serta urus setia FPI atas penganjuran program yang terancang, profesional dan berimpak tinggi,” katanya. 

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkelayakan akademik, malah diperkasakan dengan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan FIM dan memenuhi keperluan industri masa kini serta masa hadapan.

Bukan sekadar ijazah, graduan FIM UMPSA kini dilengkapi Pensijilan Profesional Lean Six Sigma

Oleh: Ts. Dr. Azian Ibrahim, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim