Skip to main content

Guru Bahasa UMPSA sumbang kepakaran dalam pemurnian kurikulum persekolahan 2027

PUTRAJAYA, 10 Februari 2026 – Seramai tiga orang Guru Bahasa daripada Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dijemput sebagai panel pakar dalam Bengkel Kerja Kawal Kualiti Dokumen Kurikulum Persekolahan 2027 Tahun 2 dan Tingkatan 2. 

Delegasi UMPSA terdiri daripada Zatul Amrah Mohammad Nazri dan  Mahzaton Aqma Abu Talip yang merupakan guru bahasa Korea, serta Khairul Bahri Abdul Samad yang mewakili kepakaran bahasa Jerman. 

Kehadiran mereka bertujuan menyumbangkan pandangan dan idea berteraskan kepakaran bahasa masing-masing dalam usaha membantu proses pemurnian serta memantapkan Dokumen Kurikulum Persekolahan terbitan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Proses pemurnian ini memfokuskan kepada penyelarasan kurikulum agar memenuhi piawaian antarabangsa Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) bagi memastikan tahap penguasaan bahasa murid adalah kompetitif di peringkat global.

Selain aspek linguistik, elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) turut diintegrasikan secara holistik bagi mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif dan saksama. 

Aspek penting lain yang diberikan penekanan dalam sesi tersebut adalah penerapan literasi kewangan dalam pengajaran bahasa asing. 

Fokus utama diberikan kepada penguasaan istilah dan ungkapan kewangan asas yang relevan dengan konteks kehidupan seharian agar murid lebih bersedia menguruskan ekonomi peribadi secara berkesan.

Sumbangan idea dan kepakaran daripada guru-guru bahasa UMPSA dalam bengkel ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang signifikan terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. 

Kerjasama ini membuktikan komitmen UMPSA dalam KPM bagi memastikan silibus yang digubal mencapai matlamat pendidikan nasional secara komprehensif.

Oleh: Zatul Amrah Mohammad Nazri dan Mahzaton Aqma Abu Talip, Pusat Bahasa Moden (PBM)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim