Mahasiswa Perintis Program Kerjasama Dwi- Ijazah Kejuruteraan Perniagaan Tamat Pengajian
Pekan, 26 Jun- Perbezaan bahasa dan budaya serta terpisah jauh beribu kilometer dengan keluarga, tidak menghalang pelajar antarabangsa dari Jerman, Natalie Christine Isabella Gerth, 29 menamatkan pengajian selama dua tahun di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan dua tahun di Reutlingen University di Stuttgart, Jerman.
Natalie yang berasal dari Jerman mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Industri (FIM), UMP bersama empat rakan senegara yang lain iaitu Fleck Felix Oliver, Simon Julius Funken, Constantin Gehling dan Theresa Stohr.
“Pengalaman pertama kali berjauhan dengan keluarga menjadikan saya lebih berdikari dan perlu berani bagi menempuh cabaran terutama mendepani perbezaan budaya dan latar belakang. Pada mula mendapat tawaran menyambung pengajian di UMP, ayah dan ibu saya agak bimbang dengan keselamatan diri yang jauh di perantauan memandangkan saya merupakan anak tunggal dalam keluarga,” kata Natalie yang merupakan anak pasangan pasangan Dieter, 60 dan ibunya Martha,57.
Bagaimanapun, setelah memberi penerangan akhirnya ibu bapa mengizinkannya, Sikap keramahan dan sikap tolong menolong warga UMP banyak membantunya sepanjang dua tahun menyambung pengajian di sini. Banyak pengalaman yang ditimba sepanjang berada di kampus terutamanya tarikan keindahan pantai di negeri Pahang.
Beliau turut berkongsi pengalaman bermakna apabila menikmati pelbagai makanan di Malaysia yang menjadi kegemarannya antaranya seperti Laksa, Bubur lambuk dan Kuih Bakar, sate dan sebagainya.
Menurut Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Prof. Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun berkata pada tahun ini buat julung kalinya lima orang mahasiswa dari Reutlingen University, Jerman menamatkan pengajiannya di UMP menerusi program kerjasama Dwi- Ijazah.
“Program Dwi-Ijazah ini merupakan program kerjasama antara UMP dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) yang mana mahasiswa akan memperolehi dua ijazah dari dua universiti berbeza iaitu Bachelor’s Degree in Business Engineering (UMP) dan Bachelor’s Degree in International Operation & Logistics Management (Reutlingen University).
Tambahnya lagi, sebelum ini UMP juga telah menghantar 10 orang mahasiswa UMP ke Jerman dan pada September ini nanti seramai 5 orang mahasiswa lagi akan menyambung pengajian di sana.
Beliau berharap program ini akan terus mendapat sambutan dan mahasiswa ini memperolehi kejayaan dan pengalaman. Mereka yang baharu tamat pengajian ini merupakan mahasiswa yang rajin dan berdisplin yang secara tidak langsung dapat mempengaruhi impak pengantarabangsaan mahupun nilai-nilai kemasyarakatan.
“Kolabrasi Malaysia dan Jerman ini banyak memberi faedah kepada kedua-dua pihak, kita bukan sahaja mempelajari teknologi daripada Jerman malah mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan profesor di Jerman dalam berkongsi kepakaran,secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan kualiti dan standard pendidikan di Malaysia,” katanya dalam program ramah mesra dengan mahasiswa Jerman yang tamat pengajian baru-baru ini.
Hadir sama dalam program Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Abd. Hamid Majid.
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian adalah program Dwi-Ijazah yang pertama diperkenalkan yang mana 70 peratus daripada unsur pendidikannya terdiri daripada subjek perniagaan dan pengurusan, manakala baki 30 peratus daripada kurikulumnya meliputi elemen kejuruteraan. Program ini memerlukan mahasiswa menyelesaikan sejumlah 135 jam kredit, dengan dua tahun di UMP dan dua tahun lagi di Reutlingen University di Stuttgart, Jerman.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 440 views