Skip to main content

MBA UMPSA buka peluang tingkatkan kerjaya dan kemahiran mengurus organisasi

Gambang, 20 Ogos 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuka peluang kepada orang ramai untuk mengikuti program pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang ditawarkan bagi memberi peluang kepada para profesional yang bekerja di dalam industri meneruskan pengajian di peringkat sarjana bagi meningkatkan kerjaya dan kemahiran dalam mengurus organisasi serta perniagaan mereka. 

Permohonan kini juga terbuka kepada individu yang tidak mempunyai ijazah sarjana muda tetapi mempunyai pengalaman kerja yang luas bagi proses penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu melalui APEL  A.

Menurut Ketua Program MBA, Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Dr. Noraina Mazuin Sapuan, landskap pekerjaan kini dikuasai oleh bakat berkemahiran tinggi sejajar dengan transformasi negara ke arah ekonomi digital dan inisiatif Revolusi Industri 4.0. 

MBA UMPSA buka peluang tingkatkan kerjaya dan kemahiran mengurus organisasi

“Kini, para majikan mencari calon-calon pekerja yang mempunyai kualiti kepimpinan dan pembuat keputusan yang baik, berkeupayaan bekerja secara berpasukan dan mempunyai kemahiran komunikasi strategik yang berupaya mempengaruhi pihak berkepentingan dari pelbagai latar belakang. 

"Kualiti ini adalah penting demi pertumbuhan syarikat dan perniagaan di masa depan seiring dengan usaha mereka ke arah transformasi digital. 

"Selain itu, program MBA UMPSA ini turut direka buat para profesional yang berminat untuk meningkatkan kemahiran diri di dalam bidang Pengurusan dan Keusahawanan," ujarnya. 

Tambah beliau lagi, selaras dengan perkembangan teknologi yang berkembang pesat dan kesedaran kepada kelestarian perniagaan, sepanjang pembelajaran di UMPSA para pelajar akan didedahkan kepada praktikal dan kajian kes industri melalui perkongsian pengalaman pakar-pakar dari pelbagai industri.

"Para pelajar juga akan turut didedahkan dengan kelestarian pengurusan melalui konsep ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) agar pelajar mampu untuk menguruskan organisasi dan perniagaan di dalam ekosistem berteknologi tinggi serta membuat keputusan yang memberi impak positif bukan sahaja kepada syarikat, tetapi juga kepada komuniti dan alam sekitar," katanya.

Bagi yang berminat boleh hubungi UMPSA untuk sesi rundingan dan lawatan kampus atau layari www.umpsa.edu.my atau hubungi Dr. Noraina Mazuin Sapuan  di talian 010-655 0312.

Disediakan Oleh: Dr. Noraina Mazuin Sapuan, Fakulti Pengurusan Industri  

Reports by:
Admin UMP News