Skip to main content

Program Global Leadership Summit dedah kreativiti pelajar MRSM

PEKAN, 3 Disember 2023 – Seramai 504 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) didedahkan dengan kreativiti dalam program Global Leadership Summit & Homeroom Colloquium MRSM Se-Malaysia (Zon Timur) 2023 baru-baru ini. 

Majlis Penutupan program tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin di MRSM Tun Abdul Razak Pekan sebagai tuan rumah.

Ia membabitkan penyertaan daripada 14 buah MRSM Zon Timur. 

Program Global Leadership Summit adalah satu platform yang memberi peluang dan ruang kepada Badan Kepimpinan Pelajar (BKP) MRSM Se-Malaysia untuk bertukar-tukar pendapat, berdiskusi serta melahirkan pemimpin masa depan yang kreatif, inovatif, dan berkarisma.

Manakala homeroom adalah suatu elemen yang penting di dalam sistem pendidikan di MRSM dan merupakan sebahagian daripada kurikulum yang telah diperkenalkan sejak awal penubuhannya yang berteraskan Keusahawanan dan Pendidikan Global. 

Naib Canselor turut memuji kurikulum yang diperkenalkan oleh MRSM ini dengan berkongsi pengalaman tiga orang anak beliau yang juga merupakan bekas pelajar MRSM yang turut mengikuti modul homeroom ini.

Dalam ucapannya Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menitipkan nasihat agar para pelajar berpegang teguh kepada nilai-nilai murni bukan sahaja nilai individu seperti ketabahan diri, berdikari, pragmatisme tetapi juga nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan seperti menghormati ibu bapa, guru, belas ihsan dan perasaan bertimbang rasa dengan orang lain.

 “Teruslah percaya dan berusahalah sehabis mungkin untuk meraih cita-cita. 

“Jika kamu mahu berusaha, maka kejayaan pasti menjadi milikmu. 

“Teruskanlah menyambung pelajaran hingga ke peringkat yang tertinggi dan jangan sesekali berhenti belajar,” ujarnya. 

Katanya, tiada masalah untuk menjadi pempengaruh (influencer) atau pencipta kandungan (content creater) tetapi jadilah yang berilmu,” ujarnya. 

Dalam majlis yang sama, beliau juga turut menyampaikan hadiah kepada semua para pemenang bagi beberapa aktiviti yang berlangsung pada 1 hingga 3 Disember 2023 itu.

Turut hadir Timbalan Pengarah 2 Pengurusan MARA, Mohamad Arif Fahmi Abdul Ghani, Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Pekan,  Muhamad Abu Bakar Ismail, 
dan pengetua-pengetua MRSM Zon Timur.

Disediakan oleh:  Mohd. Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor 
 

Reports by:
Ferdaus