Program SULAM Smart Logistics FPI UMPSA perkukuh kolaborasi kampus, komuniti dan industri
Gambang, 23 Januari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri terus memperkukuh peranan sebagai universiti berteraskan komuniti menerusi pelaksanaan Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus Supply Chain and Logistics Management (BPQ2223) melalui projek Smart Logistics: Connecting Campus, Community and Industry.
Program ini telah diselaraskan oleh Pensyarah Kanan FPI UMPSA, Ts. Dr. Azian Ibrahim dan melibatkan seramai 35 orang pelajar wakil kumpulan daripada keseluruhan 102 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dan dilaksanakan sepanjang tempoh 16 hingga 31 Disember 2025 di beberapa industri perkhidmatan logistik di sekitar Gambang dan Kuantan.
Antara rakan industri yang terlibat ialah Flash Express, J&T Express, Shopee Express Pahang Sorting Centre, MR DIY Warehouse (EDC Gambang), dan Ninjavan Logistics Sdn Bhd.
Menurut Ts. Dr. Azian, program ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar terhadap operasi sebenar pengurusan rantaian bekalan dan logistik, khususnya dalam mengenal pasti cabaran berkaitan pengurusan inventori, aliran barangan, penyimpanan, penghantaran serta penggunaan sistem operasi logistik di peringkat industri dan komuniti.
“Sepanjang program berlangsung, para pelajar terlibat secara aktif dalam kajian lapangan, sesi temu bual bersama pihak industri, pemerhatian operasi logistik, serta analisis data sebenar organisasi.
“Dapatan kajian tersebut digunakan bagi merangka cadangan penambahbaikan pengurusan rantaian bekalan dan logistik yang lebih cekap, sistematik dan mampan, selari dengan teori dan amalan terbaik industri.
“Pendekatan Research-Based SULAM yang diterapkan bukan sahaja mengukuhkan penguasaan akademik pelajar, malah turut menyumbang kepada pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi profesional, kerja berpasukan, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah serta kepimpinan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, pihak industri turut menerima manfaat melalui perkongsian idea dan cadangan penambahbaikan operasi hasil analisis pelajar.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA, khususnya FPI dalam melaksanakan pembelajaran berimpak tinggi yang menghubungkan kampus, komuniti dan industri secara strategik, selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Oleh: Ts. Dr. Azian Ibrahim, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
- 22 views