Skip to main content

SULAM FTKKP UMPSA bawa pengalaman industri ke KV Kuantan

KUANTAN, 18 Jun 2025 – Seramai sepuluh orang pelajar Tahun 2 dari Program Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas (BVF), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di Kolej Vokasional Kuantan. 

Program yang dijenamakan sebagai Condition Based Monitoring (CBM) for Beginner ini merupakan sebahagian daripada penilaian berasaskan projek kursus BVF3224 – Alignment and Condition-Based Monitoring (CBM).

Ia dirasmikan oleh Pengarah Kolej Vokasional (KV), Kuantan, Tuan Haji Norman Mohd Nor.

Tuan Haji Norman turut menzahirkan penghargaan kepada UMPSA atas inisiatif membawa pendekatan baharu dalam pendidikan TVET melalui SULAM. 

Manakala Menurut Ketua Program, Ts. Dr. Nor Khonisah Daud, program ini bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, malah mengukuhkan peranan universiti sebagai agen pemindahan ilmu kepada komuniti.

“Antara pengisian utama ialah taklimat khas berkaitan pengajian Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FTKKP, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian. 

“Beliau menekankan mengenai potensi kerjaya dalam bidang minyak dan gas serta laluan akademik yang ditawarkan oleh UMPSA kepada pelajar lepasan KV. 

“Para pelajar UMPSA kemudiannya mengambil peranan sebagai fasilitator dan penyampai ilmu dengan membentangkan topik-topik teknikal seperti Introduction to Condition Based Monitoring, Precision Shaft Alignment Method for Oil and Gas Industries, serta demonstrasi penggunaan peralatan sebenar industri seperti vibration analyzer dan laser alignment kit,” ujarnya. 

Aktiviti turut diselang-selikan dengan kuiz interaktif bagi memperkasakan pemahaman pelajar terhadap fundamental dan kaedah yang diterapkan ketika sessi perkongsian oleh fasilitator. 

SULAM FTKKP UMPSA bawa pengalaman industri ke KV Kuantan

Tambah beliau, seramai 30 orang pelajar KV Kuantan daripada program Teknologi Pemesinan Industri telah menyertai program ini yang berlangsung selama satu hari ini.

“Menariknya, sesi petang diisi dengan hands-on activity iaitu latihan (shaft alignment) menggunakan peralatan sebenar. 

“Para pelajar KV juga diberi peluang mengendalikan sendiri peralatan serta memahami teknik penjajaran tepat (Precision alignment) yang diguna pakai dalam industri minyak dan gas.

“Program ini merupakan antara inisiatif yang menyokong aspirasi Pelan Induk TVET Negara dan Dasar Pendidikan Tinggi dalam memperluas pembelajaran berasaskan pengalaman, memperkukuh jaringan kolaborasi rentas institusi serta membentuk pelajar berkemahiran tinggi dan bersedia mendepani cabaran industri masa hadapan,” katanya. 

Ia juga memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal yang komited dalam memperkasa pendidikan berteraskan teknologi, inovasi dan pemindahan ilmu yang selaras dengan misi universiti untuk menjadi peneraju TVET universiti pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagi para pelajar, program ini memberi mereka peluang mengaplikasikan kemahiran teknikal yang dipelajari di dalam kelas kepada komuniti sebenar, di samping meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi bersama pelajar TVET.

Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak institusi, industri serta diperluas ke peringkat negeri dan kebangsaan, bagi memastikan pendekatan pembelajaran bermakna ini memberi manfaat berpanjangan kepada seluruh ekosistem pendidikan tinggi dan kemahiran negara.

Disediakan Oleh: Ts. Khairil Anuar Abdul Hamid Dan Ts. Dr. Azizul Helmi Bin Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri