UMPSA anjur Bengkel Practical Writing Approaches perkasa penyelidikan dan penulisan akademik melalui aplikasi AI Generative
PEKAN, 26 Ogos 2025 - Kemajuan pesat AI generatif telah membawa perubahan besar dalam dunia akademik, memberi peluang baharu kepada penulis, penyelidik dan pendidik.
Selaras dengan perkembangan ini, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan siri ketiga Bengkel Practical Writing Approaches pada 26 Ogos 2025 bertempat di Pekan.
Bengkel sehari yang bertemakan ‘AI Applications in Journal Article and Thesis Writing: The Rules of Thumb’ itu telah disampaikan oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Ts. Dr. Luqman Hakim Ahmad Shah dengan penglibatan seramai 66 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah dan staf akademik UMPSA.
Peserta diperkenalkan dengan pelbagai aplikasi AI generatif terkini, antaranya SciSpace, sebuah platform komprehensif yang menyediakan akses kepada jutaan artikel ilmiah, membantu menjelaskan konsep akademik yang kompleks dalam bahasa yang mudah difahami, serta menawarkan cadangan rujukan yang relevan.
SciSpace turut mempunyai fungsi AI Copilot yang boleh menganalisis kandungan artikel, menjawab pertanyaan penyelidik berdasarkan teks yang dimuat naik, dan membantu menghasilkan draf ringkasan dengan cepat.
Selain itu juga, para peserta turut didedahkan kepada Consensus, enjin carian berkuasa AI yang merumuskan dapatan kajian daripada pelbagai artikel ilmiah.
Ia membantu mengenalpasti persamaan dan perbezaan hasil penyelidikan, menapis sumber paling relevan, serta menyusun bukti berdasarkan kata kunci tertentu.
Fungsi ini membolehkan penyelidik membuat ulasan literatur secara lebih sistematik, kritis dan efisien, sekali gus menjimatkan masa dalam penulisan tesis dan artikel jurnal.
Melalui demonstrasi dan latihan amali, peserta dapat mengaplikasikan teknologi ini secara praktikal dalam penulisan penyelidikan mereka.
Ts. Dr. Luqman turut menekankan tentang kepentingan menjaga integriti akademik dan mengingatkan peserta agar tidak terlalu bergantung pada kandungan yang dijana AI generatif.
“Walaupun AI generatif mampu mempercepatkan proses, pemikiran kritis dan keaslian tetap menjadi tanggungjawab penulis dan penyelidik,” ujarnya.
Dr. Luqman turut berkongsi penggunaan Teknik Pomodoro sebagai kaedah meningkatkan fokus sepanjang pengajian PhD beliau. Siri Practical Writing Approaches terus menjadi wadah penting dalam memperkasakan penulisan ilmiah warga UMPSA, sekali gus meneguhkan nilai keaslian, integriti dan kecemerlangan akademik di era digital.
Menurut pelajar ijazah kedoktoran (PhD) di PBM, Aisyah Khaleeda Rosli, bengkel ini membuka peluang baharu dalam memanfaatkan AI.
“Saya tidak tahu Scispace boleh menukar format artikel dalam beberapa minit, sedangkan biasanya saya perlukan masa berjam-jam.
“Consensus pula menjimatkan masa saya mencari literatur.
“Ilmu seperti ini sangat berharga untuk penyelidik,” katanya.
Manakala bagi peserta Raji Luqman pula, beliau turut memuji perkongsian Dr. Luqman yang dianggap penuh bermanfaat.
Pengarah Program, Dr. Ezihaslinda Ngah, menegaskan kepentingan membekalkan pelajar bukan sahaja dengan kemahiran teknikal, tetapi juga kesedaran etika dalam penggunaan AI generatif.
“Saya berharap agar para peserta dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh dalam penulisan akademik masing-masing.
“Bengkel ini menekankan peranan literasi AI generatif dalam dunia akademik dengan menggabungkan aspek etika, teknikal dan strategi produktiviti,” katanya.
Disediakan Oleh: Amy Zulaikha Mohd Ali, Dr. Ezihaslinda Ngah dan Mardhiyyah Zamani, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 88 views
Reports by: