UMPSA dan UAD Indonesia anjur program Mobiliti TVET Antarabangsa bersama SMK Tengku Afzan
KUANTAN, 18 Jun 2025 — Hampir 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan, Kuantan berpeluang menyertai Program Mobiliti TVET Dalam Talian Peringkat Antarabangsa anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia.
Program yang berlangsung secara maya menerusi platform Google Meet itu memberikan pendedahan awal kepada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 tentang konsep Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam konteks global.
Program rentas sempadan itu bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik antara institusi, memupuk kerjasama serantau dan memperkenalkan aspek keselamatan pekerjaan dan pembangunan mampan kepada pelajar sekolah menengah, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi itu telah dikendalikan oleh Dr. Vera Yulu Erfiana dari Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, UAD.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua SMK Tengku Afzan, Hajah Rozita Ismail menzahirkan penghargaan atas penganjuran program yang memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang TVET di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang ini untuk memperluaskan pengetahuan dan membina jaringan akademik sejak dari bangku sekolah.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FTKKP, UMPSA, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian dalam ucapannya turut menekankan kepentingan program mobiliti rentas negara bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, selain memupuk minat awal terhadap bidang teknikal dan vokasional.
Program turut mendapat suntikan semangat daripada Dekan Fakultas Teknologi Industri, UAD, Profesor Dr. Ir. Siti Jamilatun yang menegaskan komitmen institusi beliau dalam memperkukuh ekosistem TVET serantau demi memenuhi keperluan pasaran kerja global yang kian mencabar.
Program ilmiah ini diteruskan dengan dua sesi ceramah utama.
Ceramah pertama bertajuk ‘Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan’ telah disampaikan oleh Dr. Tri Yuni Sukesih dari Fakultas Kesehatan Masyarakat, UAD.
Beliau menekankan mengenai kepentingan pematuhan aspek keselamatan di tempat kerja termasuk penggunaan alat pelindung diri (PPE) serta peranan setiap individu dalam mencegah kemalangan industri.
Manakala sesi kedua pula membawakan topik bertajuk ‘Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)’ oleh Ir. Utaminingsih Linarti dari Fakultas Teknologi Industri, UAD yang memperkenalkan 17 matlamat pembangunan global serta peranan generasi muda dalam membantu merealisasikan agenda pembangunan lestari menerusi bidang TVET.
Walaupun dijalankan secara dalam talian, program yang berakhir pada jam 11.30 pagi itu tetap mencatatkan penglibatan aktif para peserta.
Kejayaan penganjuran ini membuktikan keberkesanan mobiliti akademik maya dalam memperluas kerjasama antarabangsa, membina kesedaran awal terhadap isu pembangunan mampan dan keselamatan pekerjaan, serta membuka minda pelajar terhadap potensi kerjaya dalam bidang TVET di peringkat global.
Disediakan Oleh: Ts. Junaidi Zakaria, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 142 views