UMPSA terima kunjungan delegasi Yunnan Technician College China, teroka peluang kerjasama strategik
PEKAN, 18 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Yunnan Technician College (Yunan Industry & Trade Vocational College), China bagi membincangkan pelbagai potensi kerjasama strategik merangkumi akademik, penyelidikan, pendidikan TVET serta mobiliti antarabangsa.
Kunjungan ini turut memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan TVET, memandangkan Yunnan Technician College merupakan antara institusi TVET terkemuka di China dan pelajarnya pernah meraih kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk dalam pertandingan World Skills Competition (WSC) merupakan pertandingan kemahiran peringkat tertinggi di dunia dalam mengiktiraf belia-belia yang berkemahiran yang berkemahiran tinggi.
Ketibaan delegasi Yunnan Technician College yang diketuai presidennya, Zhang Zebin disambut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Turut bersama delegasi, Pengarah Infrastruktur dan Logistik, Wang Jianbo, Ketua Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Zi Faguo dan Pensyarah Kanan, Li Yu.
Menurut Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, pertemuan ini memberi peluang kedua-dua pihak bekerjasama dalam program pertukaran pelajar jangka pendek dan panjang, mobiliti pensyarah, jurulatih teknikal serta program pembangunan profesional staf.

“Turut dibincangkan peluang laluan sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana bagi pelajar dan tenaga pengajar, khususnya lulusan diploma dan program kerjasama diploma dual,” katanya.
Beberapa bidang teknikal dikenal pasti antaranya Analitik Data Komputasi dan Sains Data, Robotik dan Automasi, Teknologi Maklumat dan Kejuruteraan.
Lain-lain penawaran kursus pendek, latihan teknikal dan penyelidikan pembangunan inovasi TVET.
Ujarnya, inisiatif ini adalah seiring dengan hasrat UMPSA merealisasikan aspirasi Agenda Pengantarabangsaan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju ASEAN.
Hadir sama dalam program, Pengarah Pusat TVET Termaju, Profesor Madya Datuk Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani, Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Pengarah Pusat Jaringan Global, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi dan Pengarah Pusat Inovasi & Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron.
Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua institusi melalui peningkatan keupayaan akademik, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia berkemahiran tinggi.

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 59 views