Skip to main content

Aidisyahrul alumni UMP kini Jurutera Robotik

PEKAN, 13 Mac 2023 – Meminati dunia robot sejak kecil dan berpeluang menyertai pertandingan robot ketika mewakili peringkat daerah sewaktu berusia 11 tahun mendorong Aidisyahrul Hanif, 24 untuk terus mendalami bidang ini sewaktu mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
 
Kini, impiannya menjadi kenyataan apabila ditawarkan berkhidmat di Syarikat Robopreneur Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat bumiputera yang membawa masa depan dengan meningkatkan keupayaan robot perkhidmatan berkuasa AI dalam meringankan kerja seharian.
 
Aidisyahrul yang merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, (HKA) Jerman tidak menyangka tugasnya membolehkan beliau mengendalikan program pembangunan robot yang melibatkan beberapa organisasi di seluruh Malaysia.
 
Katanya, seiring dengan kemajuan teknologi sekarang, teknologi robot ini pastinya akan memudahkan urusan kita pada masa akan datang. 

Aidisyahrul alumni UMP kini Jurutera Robotik

“Kini saya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan latihan menggunakan robot kepada staf UMP yang terlibat dalam menguruskan robot TEMI yang ditempatkan di universiti ini,” katanya.
 
Berkongsi pengalamannya selama setahun itu, antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah perlu mengira hasil produktiviti dan kecekapan sebuah robot yang telah beroperasi selama sebulan di Hospital Bera.
 
Ujarnya, dengan masa yang singkat, beliau gigih bekerja lebih waktu dan mengkaji serta meminta tunjuk ajar daripada staf lain yang berpengalaman sehingga tugasan itu berjaya diselesaikan dengan baik.

“Sebagai seorang Jurutera Robotik memerlukan banyak kesabaran dan dedikasi untuk berjaya. 

“Terutamanya dalam merancang dan menguji robot, menguruskan robot serta mahir di dalam sistem automatik yang membolehkan robot tersebut melakukan tugas dengan berkesan serta tepat mengikut keperluan pelanggan,” katanya. 
 
Anak kelahiran Kluang, Johor itu berharap dapat memiliki sebuah syarikat sendiri dan membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
 
Aidisyahrul turut menitipkan pesan kepada mahasiswa lain agar jangan pernah berputus asa dengan apa jua cabaran yang perlu ditempuhi. 
 
“Jika rasa tidak mampu hendak tempuhi, beranikan diri minta bantuan dan dorongan dari orang terdekat serta orang yang pakar,” ujarnya. 

Beliau sangat menghargai majikan, rakan sejawatnya dan para pensyarah yang sentiasa memberi dorongan untuk berjaya dalam bidang ini. 

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim