Skip to main content

Alumni UMPSA, Dr. Siti Hawa ukir sejarah terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

KUANTAN, 6 Ogos 2026 – Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Siti Hawa Apandi, 37 menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) apabila diiktiraf sebagai First 'SMA' Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University.

Sekali gus mencipta sejarah sebagai individu pertama yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) berjaya menamatkan pengajian secara berterusan daripada peringkat diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti yang sama.

Majlis penyerahan pengiktirafan tersebut telah disempurnakan oleh wakil Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh di kediaman beliau di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan.

Majlis dihadiri Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang turut menyempurnakan sesi simbolik pemakaian jubah konvokesyen sebagai tanda penghargaan universiti terhadap ketabahan, kegigihan dan kecemerlangan akademik beliau sepanjang menempuh perjalanan pendidikan tinggi.

Pengiktirafan ini mengiktiraf kejayaan luar biasa Dr. Siti Hawa yang cekal walaupun perjalanan hidupnya berkerusi roda meneruskan pengajian di UMPSA sejak peringkat diploma hingga berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD).

Alumni UMPSA, Dr. Siti Hawa ukir sejarah terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Namun cukup menginspirasikan, kisah sebenar ini adalah pengorbanan dan sokongan ibunya, Zaidah Tamjis, 64 yang menjadi sumber kekuatan di sebalik kejayaan ini.

Mengimpas kisah ibu dan anak ini, selama lebih sedekad, Zaidah menjadikan kolej kediaman kampus UMPSA sebagai rumah keduanya.

Beliau berpindah masuk bersama anaknya ketika Dr Siti Hawa memulakan pengajian diploma pada tahun 2007 dan terus setia menemaninya sepanjang pengajian ijazah.

Dr. Siti Hawa, yang menghidap SMA iaitu gangguan genetik yang melemahkan dan merosakkan fungsi otot secara progresif, sekali gus menyebabkan otot dikawal menjadi semakin lemah dan rosak secara beransur-ansur, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada tahun 2016 sebelum berjaya memperoleh PhD pada tahun 2025. 

Alumni UMPSA, Dr. Siti Hawa ukir sejarah terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Namun, menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20, beliau tidak dapat menyarungkan jubah PhD berikutan keadaan kesihatan Dr. Siti Hawa yang memerlukan rawatan rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru dan anugerah yang diterima ibu bapanya disampaikan Pro-Canselor, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Paya Besar. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada Dr. Siti Hawa dan keluarganya, malah merupakan satu penghormatan besar kepada seluruh warga UMPSA.

“Kejayaan Dr. Siti Hawa membuktikan bahawa kekuatan semangat, kesungguhan dan keazaman yang tinggi mampu mengatasi segala cabaran dan batasan fizikal dalam mengejar ilmu.

"Dr. Siti Hawa merupakan lambang kekuatan luar biasa. 

“Beliau telah membuktikan bahawa kecemerlangan akademik tidak diukur melalui kekangan yang dimiliki, sebaliknya ditentukan oleh semangat, usaha dan keazaman yang tidak pernah luntur,” ujarnya. 

Tambah Profesor Ts. Dr. Yatimah lagi, beliau bukan sahaja telah mengharumkan nama UMPSA, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bahawa tiada halangan untuk mencapai cita-cita sekiranya diberikan peluang, sokongan dan akses kepada pendidikan berkualiti. 

“UMPSA sentiasa komited memperkasakan agenda pendidikan inklusif dengan menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif serta memberi peluang sama rata kepada semua pelajar untuk mencapai kecemerlangan,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (Pusat iNKLUSIF) dan sokongan daripada Persatuan Spinal Muscular Atrophy (SMA) Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kpmputeran, ahli keluarga Dr. Siti Hawa, para pensyarah serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademik beliau sehingga berjaya mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.

Dr. Siti Hawa merupakan alumni UMPSA yang menamatkan pengajian secara berterusan bermula daripada peringkat pengajian diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana sehingga memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer di universiti yang sama.

Pencapaian tersebut menjadi asas kepada pengiktirafan MBR yang mengiktiraf beliau sebagai pesakit SMA pertama di Malaysia yang berjaya mencapai rekod berkenaan.

Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa pendidikan merupakan hak setiap individu dan tiada batasan untuk mencapai kejayaan apabila disertai dengan kecekalan, sokongan keluarga serta komitmen institusi pendidikan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan kondusif.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Koprorat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri