Skip to main content

Alumni UMPSA sumbang endowmen bagi program Lean Six Sigma Green Belt

PEKAN, 30 September 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menerima sokongan padu daripada alumninya apabila Pertubuhan Gagasan Intelek Bina Negara (IBINA) dengan kerjasama Yayasan Peneraju menyalurkan endowmen alumni bernilai RM3.88 juta bagi pelaksanaan Program Lean Six Sigma Green Belt.

Program bertaraf antarabangsa ini ditawarkan secara tajaan penuh bernilai RM7,660 bagi setiap peserta dan menyasarkan penyertaan 500 mahasiswa tahun akhir serta alumni UMPSA. 

Sijil ini turut disahkan oleh International Association for Six Sigma Certification (IASSC), sekali gus memberikan peluang kepada peserta memperoleh pensijilan rasmi antarabangsa dan akan menjadi nilai tambah yang besar untuk peluang kerjaya serta daya saing graduan.

Program Lean Six Sigma Green Belt memberi tumpuan kepada kaedah penambahbaikan proses kerja berasaskan gabungan prinsip Lean dan Six Sigma. 

Peserta akan dilatih untuk mengurangkan pembaziran masa, tenaga dan bahan, meningkatkan kualiti kerja menggunakan pendekatan sistematik Define, Measure, Analyze, Improve, Control (DMAIC), menguasai asas analisis statistik serta menggunakan Lean Tools bagi mengoptimumkan operasi. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, endowmen alumni ini merupakan bukti semangat giving back yang cukup bermakna dalam menyokong agenda pembangunan mahasiswa serta meningkatkan daya saing graduan UMPSA di pasaran kerja global.

Alumni UMPSA sumbang endowmen bagi program Lean Six Sigma Green Belt

“UMPSA amat menghargai sumbangan alumni yang kembali menabur bakti. 

“Sumbangan ini bukan sahaja bernilai jutaan ringgit tetapi lebih penting membuka jaringan industri, perkongsian ilmu dan peluang kerjaya kepada mahasiswa.

“Inilah yang membezakan ekosistem universiti iaitu ia akan terus hidup dengan sokongan generasi yang pernah dibentuk di sini,” ujarnya. 

Bagi Pengasas Bersama IBINA, Amzaidin Amirudin, sebagai seorang alumni UMPSA, segala kejayaannya hari ini berakar daripada pengalaman dan ilmu yang dibina ketika menuntut di universiti.

“Bagi saya, kejayaan hari ini tidak mungkin hadir tanpa asas yang dibina di UMPSA. 

“Justeru, apabila berpeluang untuk kembali menyokong program, pembangunan pelajar dan inisiatif universiti, ia bukan sekadar satu tanggungjawab, tetapi sebuah penghormatan.

“Budaya giving back dalam kalangan alumni, bukan hanya dalam bentuk sumbangan kewangan, tetapi juga melalui perkongsian kepakaran, jaringan industri dan peluang pembangunan kerjaya,” katanya. 

Malah, beliau juga percaya bahawa alumni yang kembali menyumbang akan menjadi jambatan penghubung di antara universiti dengan dunia industri sebenar, sekali gus melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran global. 

“Sumbangan kepada UMPSA membawa makna yang lebih besar daripada sekadar angka jutaan ringgit. 

“Ia adalah penghargaan terhadap institusi yang membentuk dirinya, di samping keyakinan bahawa setiap alumni mempunyai peranan untuk memastikan universiti terus relevan dan berdaya saing di persada global.

“Apabila diberi ruang menyokong kembali universiti, ia bukan sekadar satu tanggungjawab tetapi sebuah penghormatan,” katanya.

Objektif program ini juga termasuklah melengkapkan peserta dengan kemahiran mengurangkan pembaziran proses kerja, meningkatkan kualiti melalui teknik sistematik DMAIC, menguasai analisis statistik serta menyediakan laluan pensijilan IASSC (USA).

Endowmen alumni ini turut diumumkan dalam Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA Bersama-sama Industri yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merangkap Tuanku Canselor UMPSA.

Majlis turut dihadiri Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Majlis ini turut menyaksikan pengumuman bahawa UMPSA telah berjaya mengumpulkan endowmen terkumpul lebih RM80 juta hasil sumbangan industri, komuniti dan alumni.

Dengan adanya inisiatif alumni seperti ini, UMPSA yakin usaha memperkasa graduan melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi akan terus diperkukuh selaras dengan aspirasi universiti sebagai hab TVET termaju di rantau ASEAN.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri