Skip to main content

Kisah ‘dipaksa’ sambung PhD bawa alumni TVET UMPSA, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hamisa kini jadi TNC (Akademik) UCYP University

PEKAN, 15 Mei 2026 – Bermula dengan rasa berat hati untuk menyambung pengajian, siapa sangka perjalanan seorang pensyarah muda akhirnya membawa beliau menjadi antara figura penting dalam dunia pendidikan tinggi dan TVET negara.

Itulah kisah inspirasi alumni TVET Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hamisa Abdul Hamid, 43, yang kini menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik) di UCYP University selepas berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di UMPSA pada tahun 2023.

Kisah ‘dipaksa’ sambung PhD bawa alumni TVET UMPSA, Prof. Madya Ts. Dr. Hamisa kini jadi TNC (Akademik) UCYP University

Lebih menarik, perjalanan akademiknya bukan bermula dengan cita-cita besar untuk bergelar profesor atau pentadbir universiti, sebaliknya lahir daripada minat mendalam terhadap bidang teknikal sejak di bangku sekolah.

Beliau mengakui keputusan memilih subjek Lukisan Kejuruteraan menggantikan Biologi ketika SPM menjadi titik awal yang mengubah keseluruhan hala tuju kehidupannya.

“Sejak sekolah lagi saya memang cenderung kepada perkara teknikal dan penyelesaian masalah. Dari situlah minat terhadap kejuruteraan dan TVET mula berkembang,” katanya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sebelum menyambung Sarjana Pendidikan Teknikal dan akhirnya PhD di UMPSA.

Menariknya, keseluruhan perjalanan akademik beliau dibentuk dalam ekosistem universiti teknikal Malaysian Technical University Network (MTUN), sekali gus menjadikan dirinya antara produk tulen pendidikan TVET negara.

hamisa

Sebelum bergelar ahli akademik, beliau terlebih dahulu merasai pengalaman sebenar dunia industri apabila bekerja sebagai Technical Executive di sebuah syarikat multinasional pada tahun 2005.

Di situlah beliau didedahkan dengan operasi Research and Development (R&D), tooling, injection moulding serta Quality Assurance dan Quality Control (QA/QC).

Menurut beliau, pengalaman industri tersebut sangat penting kerana ia membantu beliau memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan sebelum mendidik pelajar di universiti.

“TVET tidak boleh hanya bergantung kepada teori semata-mata. Pensyarah sendiri perlu faham realiti industri supaya ilmu yang disampaikan benar-benar relevan,” katanya.

Pada tahun 2007, beliau menyertai UCYP University yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Antarabangsa IKIP sebagai pensyarah sebelum perlahan-lahan membina reputasi sehingga dilantik sebagai Profesor Madya dan kini Timbalan Naib Canselor (Akademik).

Sepanjang hampir dua dekad dalam dunia akademik, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Dekan Fakulti Teknologi, Rekabentuk dan Pengurusan serta mengetuai pelbagai pembangunan kurikulum dan program profesional.

Beliau turut berkongsi pengalaman paling mencabar sepanjang pengajian PhD apabila negara dilanda pandemik COVID-19.

Katanya, penyelidikan yang banyak bergantung kepada eksperimen makmal tergendala hampir enam bulan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada masa saya perlu mohon rentas daerah semata-mata mahu masuk makmal. 

“Memang mencabar dari segi mental dan emosi.

“Namun begitu, saya bersyukur kerana mendapat penyelia yang sangat berpengalaman dalam bidang pemindahan haba dan penyelidikan nanolubricant automotive,” ujarnya,

Beliau turut menyifatkan sokongan penyelia dan rakan penyelidik sebagai antara faktor terbesar yang membantu dirinya bertahan hingga tamat pengajian.

Di sebalik cabaran akademik, banyak kenangan manis yang masih segar dalam ingatan beliau sepanjang berada di UMPSA.

Antara yang paling diingati ialah pengalaman berbuka puasa di makmal bersama rakan penyelidik ketika menyiapkan eksperimen dan tesis.

“Kadang-kadang kami berada di makmal sampai lewat malam. Penat memang penat, tetapi suasana bekerjasama dan saling membantu itu yang paling bernilai,” katanya sambil tersenyum.

Beliau juga merupakan antara kelompok pelajar yang melalui fasa transformasi nama universiti daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Selain itu, beliau turut menjadi antara graduan awal yang menghadiri Hooding Ceremony pertama UMPSA di Mangala Resort & Spa, Gambang. 

Hari ini, nama beliau semakin dikenali dalam dunia TVET dan teknologi negara.

Beliau kini aktif bersama Malaysia Board of Technologists (MBOT) sebagai Panel Penilai Profesional dan Panel Penilai Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC).

Selain itu, beliau turut dilantik menganggotai Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Pahang serta Majlis TVET Negeri Pahang.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah menjadi keynote speaker di Harbin, China menerusi International Symposium on Smart Education 2025 dengan membincangkan isu kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi.

Beliau juga aktif menghasilkan penerbitan ilmiah berkaitan teknologi penyejukan automotif dan nanolubricant sehingga meraih beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Cendekia Bitara UMPSA dan Best Presenter Award di Bangkok, Thailand.

Sebagai tokoh akademik TVET, beliau percaya persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknikal kini semakin berubah.

Menurut beliau, TVET bukan lagi laluan ‘kelas kedua’, sebaliknya sektor strategik yang sangat penting dalam pembangunan negara terutama menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“TVET sebenarnya melahirkan tenaga kerja mahir yang sangat diperlukan industri. 

“Negara tidak boleh bergantung kepada teori sahaja tanpa kemahiran teknikal. 

“Bidang seperti automotif, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, robotik dan digitalisasi membuka peluang besar kepada graduan TVET,” tambahnya. 

Beliau turut menitipkan nasihat kepada pelajar sekolah supaya membuat pilihan pengajian berdasarkan minat dan potensi diri, bukannya sekadar mengikut trend semasa.

“Jangan pilih bidang semata-mata sebab orang lain pilih. Pilih bidang yang sesuai dengan diri sendiri dan ada nilai masa depan. 

“Pelajar juga perlu memilih institusi pengajian yang mempunyai pengiktirafan rasmi supaya peluang kerjaya lebih luas dan diyakini majikan,” ujarnya. 

Mengulas mengenai UMPSA pula, beliau menyifatkan universiti itu sebagai antara institusi TVET terbaik negara yang semakin berkembang pesat di peringkat antarabangsa.

“UMPSA mempunyai budaya akademik yang sangat baik, hubungan industri yang kukuh dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. 

“Saya percaya UMPSA mampu menjadi hab TVET dan teknologi termaju di rantau ini,” katanya sebelum mengakhiri perbualan. 

Disediakan oleh: Safriza binti Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri