Skip to main content

Majlis Makan Malam Alumni FTKPM UMPSA memperkukuh ukhuwah, perkasa kolaborasi akademik

PETALING JAYA, 9 Ogos 2025 – Lebih 50 orang alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) daripada seluruh Semenanjung Malaysia berhimpun dalam Majlis Makan Malam Bersama Alumni FTKPM 2025 yang berlangsung di Royal Chulan The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Majlis itu bukan sekadar medan untuk mengimbau memori zaman kampus, malah menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara alumni dan fakulti, di samping menyumbang kepada agenda penambahbaikan akademik universiti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed hadir bagi merasmikan majlis pada malam tersebut. 

Majlis Makan Malam Alumni FTKPM UMPSA memperkukuh ukhuwah, perkasa kolaborasi akademik

Turut hadir, Dekan FTKPM, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan, timbalan dekan dan barisan pengurusan tertinggi fakulti. 

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, universiti sangat menghargai barisan alumni yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa universiti, menyokong serta menyumbang ke arah pembangunan universiti.

Majlis Makan Malam Alumni FTKPM UMPSA memperkukuh ukhuwah, perkasa kolaborasi akademik

“Kami amat menghargai komitmen dan sokongan padu para alumni. 

“Penglibatan aktif seperti ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah membantu fakulti untuk memahami keperluan industri dan aspirasi graduan. 

“Dalam masa yang sama, program ini turut melaksanakan penilaian Programme Educational Outcome (PEO) untuk alumni yang bergraduasi tahun 2020 dan 2021 sebagai persediaan data audit bagi pihak Engineering Accreditation Council (EAC),” ujarnya. 

Beliau mengharapkan semoga ukhuwah yang terjalin ini akan terus berkekalan dan silaturrahim di antara alumni dan fakulti akan terus berkembang lagi. 

Dalam masa yang sama majlis ini turut membuka lebih banyak ruang kolaborasi antara alumni dan fakulti dalam mengangkat nama UMPSA di persada pendidikan tinggi negara dengan memberikan peluang untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan impak komuniti. 

Ini termasuklah menjayakan inisiatif UMPSA di bawah Yayasan UMPSA dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi melalui lima jenis endowmen yang ditawarkan iaitu Endowmen Kepengerusian, Endowmen Penyelidikan, Endowmen Biasiswa, Kebajikan dan Pembangunan Pelajar, Endowmen Komuniti dan Endowmen Alumni.

Melalui penyertaan dalam program endowmen ini, organisasi terlibat berperanan sebagai pemangkin perubahan menyokong pendidikan, penyelidikan dan pemerkasaan komuniti yang memberi kesan berpanjangan. 

Sementara itu menurut Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan, selain menjadi ruang pertemuan semula, majlis ini turut memfokuskan kepada pengumpulan maklum balas alumni sebagai input penting dalam proses penambahbaikan kurikulum.

“Maklum balas ini akan dimanfaatkan bagi menyokong penilaian berkala oleh agensi akreditasi dan memenuhi keperluan audit profesional.

“Malahan perbincangan juga menjurus kepada dapatan Panel Penasihat Industri yang diperoleh pada 2024, iaitu alumni menjadi rakan strategik dalam mengesahkan relevansi struktur kurikulum semasa,” katanya. 

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri