Syazaliyana Razanabihah raih Anugerah Ikon Alumni Inspirasi UMPSA 2024
GAMBANG, 16 April 2025 – Malam Anugerah Mercu Sanjung Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2024 (MARS) menjadi saksi pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang alumni apabila Syazaliyana Razanabihah Surahman diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Alumni Inspirasi, atas pencapaian luar biasa dalam bidang Keusahawanan dan komitmen tinggi beliau terhadap kebajikan mahasiswa.
Majlis pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Syazaliyana atau lebih mesra disapa Yana merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer (Kejuruteraan Perisian), Fakulti Komputeran (FK) yang telah menamatkan pengajiannya pada tahun 2021.
Sepanjang pengajian, beliau aktif dalam pelbagai bidang termasuk pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2018/2019.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Syazaliyana menyatakan rasa syukur dan terujanya kerana diberi penghargaan yang tinggi oleh UMPSA tempat beliau menimba ilmu dan membentuk peribadi.
“Saya bermula dari kosong di UMPSA, dan kini saya mampu menjadi versi terbaik diri saya.
“Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini,” katanya.
Walaupun pada awalnya beliau berasa rendah diri untuk mencalonkan diri kerana persaingan yang sengit, namun dorongan kuat daripada pihak Perhubungan Alumni UMPSA membakar semangatnya untuk mencuba.
Kemenangan ini nyata di luar jangkaan beliau, apatah lagi apabila saingan turut melibatkan individu berprofil tinggi.
Selepas tamat pengajian, Syazaliyana terus mengorak langkah dalam bidang Keusahawanan.
Kini, beliau berjaya mengendalikan empat buah kafeteria dan dua kiosk makanan di dalam dan luar universiti awam, serta mengusahakan dua buah kafe premium di Kampus Gambang, iaitu Slumber Kafe dan Obby Chicken.
Lebih membanggakan, beliau turut aktif menyumbang kepada universiti, termasuk menyediakan bantuan makanan semasa musim peperiksaan Semester I 2023/2024 serta menaja bahan mentah bernilai RM2,000.00 untuk acara Dapur Gempur sempena Program Ekspokonvo 2024 menerusi kerjasama dengan rakan niaga Ayam Gepuk Cakra Obi, Kuantan.
Semasa bergelar pelajar, Syazaliyana dikenali sebagai seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti mahasiswa merangkumi keusahawanan, kesukarelawanan dan kepimpinan.
Beliau juga pernah menyertai Misi Yayasan Sukarelawan Siswa-ASEAN ke Subis, Sarawak pada tahun 2019, mengetuai program MINDS 2019, Penolong Pengarah Career Fair 2019, serta menyertai Parlimen Mahasiswa UMPSA tahun yang sama.
Mengimbas semula cabaran yang pernah dilalui, beliau berkata menyeimbangkan antara akademik dan kokurikulum menjadi antara ujian terbesar.
Namun dengan pengurusan masa yang bijak, adab terhadap pensyarah, dan semangat untuk terus belajar, beliau berjaya mengatasinya.
Syazaliyana menjadikan ibu bapa dan suaminya sebagai sumber inspirasi utama dalam mengejar impian.
Katanya, ibu bapa dan pasangan saya sentiasa menjadi pendorong utama dalam jatuh bangun perjalanan hidup ini.
“Saya sangat bersyukur atas sokongan daripada kedua ibu bapa yang tidak pernah berbelah bahagi,” katanya.
Sebagai alumni yang terus aktif memberi sumbangan kepada alma mater, Syazaliyana menyeru warga UMPSA agar sentiasa memberi kembali kepada universiti mengikut kemampuan masing-masing.
Katanya, anggaplah setiap sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kepada tempat yang telah melahirkan versi diri kita yang lebih baik dan berilmu.
“Malah, saya juga berhasrat untuk memperluaskan perniagaan ke peringkat nasional melalui penubuhan perniagaan francais dalam jangka masa terdekat.
“Anugerah Mercu Sanjung merupakan simbol semangat untuk saya terus menjadi individu yang terbaik dan memberikan yang terbaik kepada masyarakat,” ujarnya.
Apabila diminta untuk merangkumkan perjalanannya dalam satu ayat, beliau berkata, perjalanan yang tidak mudah namun sokongan serta dorongan yang tidak putus dari keluarga dan orang sekeliling, membuat diri sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa.
Syazaliyana membuktikan bahawa alumni UMPSA bukan sahaja mampu berjaya dalam kerjaya, malah menjadi agen perubahan yang memberi impak besar kepada komuniti universiti dan masyarakat.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 70 views