Skip to main content

UMPSA bakal lancar Inisiatif Endowmen Pin Alumni sempena sambutan Hari Alumni 2026

KUANTAN, 10 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal melakar satu lagi sejarah dalam usaha memperkasakan budaya memberi dalam kalangan alumninya menerusi Prapelancaran Inisiatif Endowmen Pin Alumni UMPSA yang akan berlangsung bersempena sambutan Hari Alumni UMPSA 2026. 

Inisiatif ini diperkenalkan sebagai platform bagi menggalakkan budaya menyumbang dalam kalangan alumni kepada alma mater secara berterusan melalui pemilikan Pin Alumni UMPSA yang membawa nilai simbolik terhadap semangat kebersamaan, rasa bangga dan komitmen alumni dalam menyokong pembangunan universiti.

Menerusi inisiatif ini, dengan sumbangan serendah RM25, setiap penyumbang layak memiliki Pin Alumni UMPSA sebagai simbol penghargaan dan kebanggaan terhadap alma mater.

Selain menjadi simbol identiti alumni, Pin Alumni UMPSA turut melambangkan semangat kekitaan, kesetiaan kepada alma mater serta komitmen untuk bersama-sama membangunkan universiti demi manfaat generasi akan datang.

Inisiatif ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara alumni, universiti dan rakan strategik melalui pembudayaan amalan filantropi yang mampan serta memberi impak berterusan kepada pembangunan institusi.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan semangat memberi dan menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan alumni terhadap alma mater.

“Endowmen Pin Alumni UMPSA bukan sekadar satu bentuk sumbangan, malah menjadi lambang ikatan yang berterusan antara alumni dan universiti. 

“Walaupun nilainya kecil, impak yang mampu dihasilkan melalui penyertaan ramai alumni amat besar dalam membantu menjayakan pelbagai agenda pembangunan universiti serta kebajikan mahasiswa.

“Kami berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada budaya filantropi yang lebih menyeluruh dalam kalangan alumni UMPSA, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dan rasa memiliki terhadap universiti yang telah menjadi tempat mereka menimba ilmu serta membina masa depan,” ujarnya. 

Tambah Profesor Ts. Dr. Yatimah lagi, sambutan Hari Alumni UMPSA yang diraikan pada 12 Ogos setiap tahun, menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara alumni dan alma mater. 

“Sambutan ini memberi penekanan kepada penglibatan aktif alumni (alumni engagement) serta usaha memperkasakan sumbangan dan endowmen alumni demi pembangunan universiti dan generasi mahasiswa akan datang,” ujarnya. 

“Sebagai kesinambungan kepada sambutan tersebut, Pusat Perhubungan Alumni UMPSA turut merancang program Alumni Back to Campus pada 10 Oktober 2026 yang menghimpunkan kembali para alumni ke kampus menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka khusus. 

“Antara program yang bakal dilaksanakan ialah Alumni Fun Run, Forum Alumni, Alumni@Faculty, serta pelbagai aktiviti lain yang dapat mengeratkan jaringan alumni, fakulti dan universiti,” katanya. 

Jelasnya, pelancaran awal inisiatif Endowmen Pin Alumni UMPSA ini diharap menjadi titik permulaan kepada pembentukan budaya filantropi yang lebih mampan dalam kalangan alumni. 

“Dengan sokongan berterusan daripada seluruh komuniti alumni, inisiatif ini diyakini mampu menjadi antara sumber pembiayaan alternatif yang menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan alumni, aktiviti kebajikan, pembangunan mahasiswa, jaringan industri serta inisiatif strategik universiti yang memberi manfaat kepada seluruh ekosistem UMPSA,” katanya. 

Sehingga kini, UMPSA mempunyai lebih 50,000 alumni yang berkhidmat dalam pelbagai sektor di dalam dan luar negara. 

Jaringan alumni yang luas ini merupakan aset penting universiti dalam memperkukuh hubungan industri, memperluas peluang kerjaya graduan serta menyokong agenda kecemerlangan UMPSA di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat dan Nadira Hana Ab Hamid, Pusat Perhubungan Alumni
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim