Skip to main content

UMPSA semarakkan merdeka dan patriotisme menerusi Kembara Merdeka Jejak Alumni 2025

PUTRAJAYA, 27 Ogos 2025 - Seramai 68 peserta program Kembara Merdeka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Jejak Alumni 2025 tiba di Pekarangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
  
Ketibaan konvoi yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed itu disambut oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman dan barisan pengurusan KPT.

UMPSA semarakkan merdeka dan patriotisme menerusi Kembara Merdeka Jejak Alumni 2025

Mereka terdiri daripada staf, pelajar dan alumni UMPSA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Pengurus Kolaborasi dan Strategik Yayasan Perkasa Siswa, Zulkifli Che Hussin dan Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Haryani Abdullah.

Program anjuran UMPSA dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu berjaya memperluas kolaborasi universiti, memperkukuh jaringan alumni serta menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, kembara ini bukan sekadar jelajah, tetapi menjadi wadah untuk menghubungkan semula alumni UMPSA, membina jaringan strategik bersama rakan universiti serta menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

“Program ini juga memberi impak besar dalam usaha menghimpunkan alumni UMPSA yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor di seluruh negara, seterusnya membuka ruang untuk perkongsian pengalaman dan kerjasama profesional antara alumni dan universiti. 
 
“Aktiviti ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti (SDG 4), komuniti inklusif (SDG 11), dan jaringan kerjasama (SDG 17),” katanya dalam sesi bersama alumni dan menyantuni peserta kembara.

UMPSA semarakkan merdeka dan patriotisme menerusi Kembara Merdeka Jejak Alumni 2025

Sementara itu, pada hari pertama konvoi menyaksikan Profesor Dr. Yatimah Alias bersama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, SAC Dato' Mohamad Noor Yusof Ali menyempurnakan Majlis Pelepasan di UMPSA Pekan.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, sepanjang kembara lima hari ini, konvoi menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia bermula dari UMPSA bergerak menuju ke UTHM dan bersama peserta dari UTHM mereka singgah bermalam di UTeM.
“Pada hari kedua pula, para peserta dari UMPSA, UTHM dan UTeM singgah di KPT sebelum menuju ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bermalam di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Hari ketiga peserta kembara dari UMPSA bergerak menuju ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan hari keempat berada di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebelum bergerak untuk hari kelima ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mengadakan sesi pertemuan bersama alumni dan memperkukuh kerjasama antara universiti.

UMPSA semarakkan merdeka dan patriotisme menerusi Kembara Merdeka Jejak Alumni 2025

“Pengalaman singgah bermalam di universiti ini memberi kita peluang beramah mesra dan menanda aras kemudahan dan tambah baik fasiliti di universiti,” katanya.

Para peserta dijangka tiba di UMPSA pada malam 30 Ogos untuk menyambut ambang merdeka bersama warga kampus kampus.

Program ini mencerminkan semangat jitu warga UMPSA dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh.

Sepanjang Bulan Kebangsaan pelbagai aktiviti telah dirancang, antaranya penyertaan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri, Pertandingan TikTok Merdeka, Program Alun Puisi 8 Jam, UMPSA Merdeka Night Run 2025, Misi Merdeka Puncak Kinabalu, Program Bicara Negara dan lain-lain.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim