Akademik dan Antarabangsa Hassan Al Faiz Mohamed terima Biasiswa Mercedes-BenzMahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP), Hassan Al Faiz Mohamed Ahmed Hafez yang sedang mengikuti pengajian program kerjasama UMP-HsKA iaitu Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif bertuah apabila dipilih menerima biasiswa daripada Mercedes-Benz Malaysia (MBM) Sdn. Bhd. sepanjang pengajian di universiti ini. Majlis menyaksikan Hassan Al Faiz menandatangani perjanjian bersama Timbalan Presiden Mercedes-Benz (M) Sdn. Bhd, Mr. Patrick Baur dan Pengurus Sumber Manusia MBM, Norlida Sharif sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis yang berlangsung di MBM Pekan pada 13 Mac 2019 yang lalu. Bagi Hassan Al Faiz, 21, beliau tidak menyangka terpilih untuk menerima biasiswa ini. Namun bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak MBM kerana memberi peluang kepadanya. “Peluang ini pastinya akan saya gunakan sebaik mungkin dalam memanfaatkan ilmu yang dipelajari dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh,” katanya. Manakala Presiden Mercedes-Benz (M) Sdn. Bhd., Patrick Baur pula berkata, pihaknya berbesar hati menganugerahkan biasiswa ini kepada Hassan Al Faiz yang merupakan pelajar kedua selepas Usamah Shamsudin yang merupakan bekas graduan Program Ijazah Sarjana muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik pada tahun 2017. Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar pula merakamkan setinggi- tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak Mercedes-Benz (M) yang mengiktiraf mahasiswa UMP dan sentiasa bekerjasama dengan UMP dalam menjalinkan hubungan baik sama ada dalam bidang penyelidikan, pembangunan akademik dan sokongan teknikal serta pembangunan modal insan melalui penawaran pembiayaan industri kepada pelajar program dwiijazah. Mengikut rekod daripada Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), hanya 11 orang sahaja layak mengikuti sesi penilaian oleh pihak MBM berbanding 21 permohonan yang diterima dan pihak MBL telah memilih Hassan Al Faiz menerima manfaat biasiswa ini. Hadir sama dalam majlis Dekan FKMP, Profesor. Dr. Rizalman Mamat dan pensyarah FKPM, Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan. Pelantikan Baharu PM Dr. Mohd. Ridzuan Darun dilantik Pendaftar baharu UMPProfesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun dilantik sebagai Pendaftar yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu berkuat kuasa mulai 15 Mac ini untuk tempoh dua tahun. Menurutnya, pelantikan ini merupakan satu tugas besar yang perlu digalas olehnya dan bertekad untuk bersama-sama berganding bahu dalam memacu ke arah kecemerlangan universiti. Kehadiran beliau memulakan tugas hari ini disambut staf Jabatan Pendaftar di lobi Canseleri Tun Abdul Razak di UMP Pekan. Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Fizik) dari Universiti Malaya (UM) dan Diploma Lanjutan Sains Perpustakaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Pengurusan Informasi (UiTM) sebelum ini pernah berkhidmat di Perpustakaan UiTM. Jalinan Kerjasama ICoN teroka jaringan kerjasama strategik untuk manfaat industri dan komunitiOleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT Bertindak sebagai penghubung antara ahli akademik bersama pihak industri dan masyarakat, Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah melebarkan peluang jaringan kerjasama strategik melibatkan beberapa agensi di Sabah pada 18 Mac 2019 yang lalu. “UMP telah terpilih menjadi ahli OISCA Malaysia dan jalinan kerjasama kini dirangka yang mana akan dapat memberi pelbagai manfaat termasuklah dalam program kemahiran pertanian, perhutanan dan penyelidikan dalam bidang berkaitan. “ICoN turut mengadakan lawatan amalan terbaik dalam pengurusan libat sama jaringan industri dan komuniti bersama pihak Centre Industry Community Network (CICN) di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya. Program ini mampu menerapkan budaya kerja profesional terutamanya dalam jalinan aktiviti kerjasama ke arah transformasi jabatan dan pengukuhan organisasi. Info Kampus Perpustakaan UMP laksana Program Waste4Fine bayar denda guna botol minumanOleh: WAN NURULHUDA WAN ZAKARIA, PERPUSTAKAAN UMP Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membenarkan pembayaran denda lewat pemulangan bahan menggunakan botol minuman plastik atau tin yang mula dilaksanakan sejak 13 Mac lalu menerusi Program Waste4Fine sebagai menyokong inisiatif program UI Greenmetrics yang sedang dijalankan di universiti ini. Menurut Pemangku Ketua Pustakawan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula di samping membolehkan mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini. “Kadar diskaun yang tinggi ditawarkan oleh pihak perpustakaan iaitu bagi setiap botol untuk pembayaran denda iaitu bagi botol bersaiz kurang dari 1000 mililiter akan mendapat diskaun 10 sen manakala botol bersaiz melebihi 1000 mililiter dengan harga 20 sen. “Pengguna juga dibenarkan untuk membuat pembayaran penuh ataupun sebahagian denda dengan menggunakan botol plastik atau tin minuman,” katanya. “Pihaknya juga bakal mengadakan Majlis Pelancaran Waste4Fine yang dijadual pada 17 April 2019 depan bertempat di Perpustakaan Pekan dan menggalakan warga UMP untuk turut sama menjayakan program ini. “UMP juga telah melaksanakan Kempen 'Let’s Break Up with Single-Use Plastic' bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus. “Ianya adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP,” katanya. Pelbagai program telah dilaksanakan pihak Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini termasuklah MYTAPAU yang membolehkan mahasiswa diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan di kafeteria universiti. |
- 129 views