Skip to main content
UMP E-Newsletter

Penyelidikan dan Inovasi

Mahasiswa Indonesia timba pengalaman dalam Sistem Penanaman Secara Fertigasi

BIL. 39 JUL 2019

Oleh: ROZANA SAHADAN, JABATAN JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT DAN NUR SA’ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT. 

Seramai 21 orang mahasiswa dari Universiti Andalas, Padang, Indonesia dan sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bekerjasama menjalankan program khidmat Komuniti di tapak fertigasi terung UMP Technology (UMPT) selama dua hari mulai 9 dan 10 Julai 2019 yang lalu melibatkan mahasiswa daripada pelbagai fakulti seperti Perubatan, Sains dan Politik, Pertanian dan lain-lain.

Program dimulakan dengan sesi taklimat dan penerangan kerja-kerja yang dilakukan sepanjang program khidmat komuniti tersebut. 

Antara kerja-kerja yang dijalankan sepanjang dua hari itu adalah membersihkan tapak, membuang daun pokok dan memetik terung. 

BIL. 39 JUL 2019

Mereka turut diajar untuk mengasingkan terung mengikut gred. Dalam masa yang sama, peserta program ini berpeluang mempelajari kerja-kerja pembinaan tapak atau rumah semaian.

Menurut Muhammad Fiqi Hermanto yang merupakan mahasiswa dari jurusan Penternakan, program ini bertujuan untuk mengaplikasi ilmu yang diperoleh daripada kuliah dan mempraktikkan secara langsung kepada masyarakat luar.

Tambah Fiqi lagi, beliau dapat lebih memahami ilmu tersebut dan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada orang lain. 

Terharu dengan sambutan dari rakan-rakan UMP, pihaknya berhasrat mempelawa mahasiswa UMP untuk bertukar pengalaman dan berkunjung balas ke Universiti Andalas.

Begitu juga dengan Salsabila Utama, mahasiswa jurusan Sains Komunikasi yang sangat teruja menyertai program kerana dapat berkenal-kenalan dengan rakan baharu daripada UMP. 

BIL. 39 JUL 2019

Menerusi program ini juga, beliau dapat mengenal UMP dengan lebih dekat dan berasa gembira dapat bertukar pandangan serta menimba pengalaman melalui kunjungan ini. 

Dalam pada itu, Pengurus Besar UMP Technology Sdn. Bhd., Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi berkata, mahasiswa teruja merasai sendiri pengalaman bekerja di tapak fertigasi UMP yang menghasilkan sebanyak 15,000 pokok terung mini dan terung bulat yang kini telah mula dituai.

“Program ini mendapat kerjasama daripada staf Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN) yang turut sama turun padang membantu mahasiswa menjalankan kerja-kerja khidmat komuniti ini,” katanya. 

Beliau mengharapkan semoga melalui program seumpama ini, mahasiswa berpeluang menimba pengetahuan dan pengalaman berkenaan sistem penanaman secara fertigasi yang telah berjaya dijalankan di tapak fertigasi di UMP Gambang. 

BIL. 39 JUL 2019

Pihaknya juga menerima kunjungan daripada pihak Etiqa dan pihak luar yang berminat untuk mendapatkan kepakaran UMPT dalam teknologi fertigasi. 


Artikel/Rencana Pilihan

Ke Arah Pemerkasaan TVET Di Malaysia: Apakah Perbezaan antara Pengajian Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan & Teknologi (B.Tech)? 

BIL. 39 JUL 2019

Oleh  : Ts. DR. ROSHAHLIZA M RAMLI
e-Mel : roshahliza@ump.edu.my

Dengan pelancaran penawaran Sarjana Muda Teknologi (B.Tech) baru-baru ini oleh Menteri Pendidikan Malaysia dan Persidangan TVET yang diakhiri dengan sesi dialog di antara Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed bersama ketua-ketua pegawai eksekutif industri menampakkan tindakan proaktif kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia. 

Hasilnya, generasi muda di Malaysia kini berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang yang memfokuskan teknologi dan kemahiran selain bidang Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan. Persoalannya, apakah perbezaan antara Ijazah Pengajian Teknologi ini dengan program Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan yang telah lebih dahulu ditawarkan di universiti tempatan? Jawapannya ada pada komposisi pembelajaran teori dan latihan amali yang diamalkan dalam setiap jenis pengajian tersebut.

BIL. 39 JUL 2019

Pengajian Kejuruteraan

Bagi program pengajian Kejuruteraan, komposisi pembelajaran teori lebih diutamakan dengan pemahaman Sains dan Matematik yang kuat adalah asas kepada semua bidang pengajian Kejuruteraan namun komposisi latihan amali tidak diberi penekanan yang khusus. Secara kasar, komposisi pengajian Kejuruteraan dibahagikan antara 70 hingga 80 peratus teori dan cuma 20 hingga 30 peratus latihan amali yang diterapkan. Di sini juga boleh dilihat pengajian Kejuruteraan tidak memfokuskan kepada kemahiran tetapi kedalaman ilmu bidang Kejuruteraan berdasarkan asas Sains seperti Fizik, Kimia, dan Matematik. Kualiti pengajian kejuruteraan dikawal selia mutunya oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM). 

BIL. 39 JUL 2019

Teknologi Kejuruteraan

Bagi pengajian Teknologi Kejuruteraan pula, komposisi pembelajaran teori dan latihan amali cuba diseimbangkan secara sama rata atau lebih cenderung kepada pembelajaran di dalam bengkel atau makmal bagi memberi pendedahan aplikasi kepada ilmu Kejuruteraan yang dipelajari di dalam bilik kuliah. Pendekatan ini dikatakan sebagai pengajian program TVET tahap tinggi kerana pemahaman Sains dan Matematik masih perlu dan dianggap kelebihan kepada pelajar dan kemahiran yang dipelajari di dalam bengkel atau makmal menjadi nilai tambah dalam mengaplikasi ilmu kejuruteraan yang dipelajari. Selain itu, keupayaan berinovasi juga ditekankan dalam penghasilan produk atau prototaip sebagai aplikasi kepada bidang Teknologi Kejuruteraan. Kebolehan pengajian Teknologi Kejuruteraan dalam menerap konsep capstone di mana projek tahun akhir pelajar dianggotai kumpulan pelajar pelbagai program pengajian Teknologi Kejuruteraan dapat menghasilkan produk berinovasi dengan perancangan pembangunan produk dan prototaip yang lebih teratur seperti yang dikehendaki oleh industri pembuatan.

Bagi menjamin kualiti akademik yang ditawarkan oleh program pengajian ini, Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bersama Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) akan mengawal selia dan memulakan akreditasi masing-masing di bawah Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (Engineering Technology Accreditation Council – ETAC) dan Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (Technology and Technical Accreditation Council - TTAC) bagi mengiktiraf program-program pengajian yang dijalankan.

Oleh itu, pengajian Teknologi Kejuruteraan yang ditawarkan di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menjadikan ia lebih menarik kerana keupayaan graduan menghasilkan produk berinovasi mengikut keperluan industri dan masyarakat setempat. Tidak mustahil bahawa Malaysia juga berupaya menghasilkan produk berinovasi tinggi menggunakan teknologi terkini setanding dengan produk buatan Korea, Jepun dan Jerman suatu hari nanti.

BIL. 39 JUL 2019

Pengajian Teknologi (B.Tech)

Bagi Pengajian Teknologi (B.Tech), komposisi pembelajaran lebih bertumpu kepada latihan praktikal dan kemahiran yang lebih khusus kepada bidang teknologi yang ingin dipelopori. Program pengajian B.Tech ini menjadi peluang terbaik bagi graduan Diploma Kemahiran Malaysia menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda dan diharap membuka jalan ke pengajian sarjana dan kedoktoran yang menjurus kepada bidang teknologi dan kemahiran, seperti yang diamalkan di negara maju seperti Jerman yang mempunyai program Meister yang memberi fokus kepada pendidikan kemahiran tertinggi bagi sesuatu bidang teknologi. Diharap bakal pelajar pengajian teknologi B.Tech ini juga diterapkan keupayaan berinovasi bagi memenuhi kehendak pasaran tenaga kerja, pihak industri dan juga teknologi yang semakin maju seiring dengan perubahan masa. Keupayaan beradaptasi dengan keperluan pelbagai industri juga salah satu elemen yang perlu dimasukkan kepada bakal graduan B.Tech supaya kemahiran yang dipelajari kekal relevan dengan kehendak semasa.

Bagi memenuhi objektif tersebut, seperti yang disarankan oleh Menteri Sumber Manusia sewaktu Persidangan TVET baru-baru ini, penglibatan pihak industri secara langsung dengan institusi pengajian teknikal yang menawarkan pengajian teknologi kejuruteraan dan B.Tech adalah amat perlu bagi merapatkan jurang antara kehendak industri dengan sumber tenaga pekerja mahir yang diperlukan oleh negara. 

Secara tidak langsung dengan penambahan graduan berkemahiran, kita dapat mengekang lambakan pekerja asing malah dapat menghantar sumber tenaga mahir dalam kalangan rakyat tempatan ke negara yang memerlukan. Selain itu, penglibatan pihak industri ke dalam pengolahan kurikulum pengajian Teknologi Kejuruteraan dan pengajian B.Tech dapat mempersiapkan negara dengan sumber tenaga mahir yang diperlukan pada masa akan datang. Kini graduan berdasarkan kemahiran dan teknologi bukan lagi graduan yang dikatakan kelas kedua tetapi bakal menjadi penyumbang utama ekonomi negara.

Penulis ialah Ketua Program Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal), di Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
 

Newsletter Image
BIL. 39 JUL 2019