Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

UMP kekal terbaik dalam Pengurusan Kewangan

BIL. 51 OKT 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan. 

Selain itu, budaya membetulkan (kelemahan) yang biasa dan membiasakan (amalan) yang betul dapat mempertingkatkan tahap pengurusan kewangan Jabatan Bendahari kepada lebih berkualiti, berintegriti dan berinovasi tinggi yang mesra pelanggan.

Usaha ini dalam meningkatkan keberkesanan dan kecekapannya warga kerja UMP untuk terus berusaha meningkatkan momentum prestasi berdasarkan bidang tugas dan tanggungjawab di jabatan masing-masing.

UMP dianugerahkan penarafan 5 bintang dalam Pengauditan Pengurusan Kewangan Indeks Akauntabiliti UMP berdasarkan Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti (IA)) yang dijalankan setiap dua tahun oleh Jabatan Audit Negara.

Pengauditan ini bertujuan untuk memudahkan pengukuran kualiti secara objektif bagi pengurusan kewangan agensi kerajaan termasuk universiti awam sebagai Badan Berkanun Persekutuan.

Ia juga adalah selaras dengan teras RMK-9 sebagai mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan dengan mewujudkan KPI bagi mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam.

BIL. 51 OKT 2019

Hadir menyampaikan sijil kepada Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff ialah Pengarah Audit Negeri Pahang, Zulkifli Tungal pada 10 Oktober 2019 yang lalu di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan. 

Turut hadir Timbalan Pengarah  Audit Negeri Pahang, Azura Wani Amir Rashid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Ketua Pegawai Kewangan merangkap Bendahari UMP, Zainuddin Othman.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, bintang atau penarafan (Rating) IA ini diberi berdasarkan kepada tahap pematuhan peraturan kewangan berhubung dengan kawalan terhadap pengurusan, bajet, terimaan, perbelanjaan, pengurusan kumpulan wang  amanah atau akaun amanah dan deposit serta aset, inventori dan stor.

“Dalam usaha mengekalkan prestasi pencapaian 5 bintang untuk pengauditan ini, UMP sentiasa membuat kawalan dalaman bagi memastikan skop-skop kawalan yang disenaraikan dipatuhi.

“Selain itu juga, UMP mengadakan bengkel kepada staf bagi memastikan UMP sentiasa mengguna pakai piawaian perakaunan yang terkini.

“Selain itu, keupayaan untuk menjana kecemerlangan berasaskan prestasi konsisten dan nilai murni merupakan prasyarat penting untuk menjayakan UMP sebagai sebuah universiti gemilang melalui Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang akan direka bentuk tidak lama lagi,” ujar beliau.


Akademik dan Antarabangsa

iMEC-APCOMS 2019 platform terbaik bidang Kejuruteraan Pembuatan dan Industri

BIL. 51 OKT 2019

Oleh: DR. NURRINA ROSLI DAN NADIRA HANA AB HAMID, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN PEMBUATAN DAN MEKATRONIK

Seramai 100 peserta dari dalam dan luar negara terutamanya dari Indonesia, Bangladesh dan India telah hadir membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam bidang Sistem Pembuatan, Automasi Pembuatan, Bahan dan Proses Pembuatan sempena Persidangan Antarabangsa iMEC-APCOMS 2019 bertemakan ‘Intelligent Engineering & Sustainable Development’ bertempat di Hotel Everly, Putrajaya, Malaysia pada 21 0gos 2019 yang lalu. 

Persidangan ini dianjurkan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Industri, Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, manakala Universitas Sebelas Marikh (UNS), Indonesia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai penganjur bersama.  

iMEC-APCOMS 2019 pada kali ini merupakan seminar anjuran bersama UMP dan ITB untuk kali ketiga. Manakala ITB telah menjadi tuan rumah pada edisi kedua yang dilaksanakan pada tahun 2017 di Jogyakarta.  

BIL. 51 OKT 2019

Penganjuran kali ini, UMP telah menghantar seramai 30 peserta yang terdiri daripada staf dan juga pelajar. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Ts Dr. Rosli Mohd Yunus.  

Sesi ucap utama pula telah disampaikan oleh Profesor Ir. Dr. Bermawi P. Iskandar dari ITB, Nizmar Mohd Nazar dari Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff dari UMP.  

Turut hadir Panel Penasihat Industri dari MIMOS Berhad, Proton Holdings Berhad dan Triple EEE Sdn. Bhd. 

BIL. 51 OKT 2019

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli, persidangan antarabangsa ini dapat mengukuhkan jalinan dan hubungan antarabangsa di antara Malaysia dan Indonesia yang sedia terjalin melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani. 

“Ini juga merupakan platform yang baik kepada para peserta untuk berinteraksi dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai penyelidikan terkini dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan dan Industri,” tambahnya lagi.  

Antara pembentang kertas kerja adalah Profesor Ir. Dr. Bermawi P. Iskandar dari ITB dengan kertas kerja beliau berkaitan model perkhidmatan servis selepas jualan manakala Nizmar Mohd Nazar membentangkan kertas kerja berkaitan cabaran dan peluang untuk industri automotif Malaysia semasa Era Industri 4.0. 

Selain itu, Profesor Madya Dr. Ir. Ahmad Razlan turut membentangkan kertas kerja berkaitan dengan permasalahan dan penyelesaian getaran dalam proses permesinan logam. 

iMEC-APCOMS 2019 secara langsung telah menyediakan platform kepada para penyelidik, pelajar pascasiswazah dan pihak industri untuk bersama-sama membentangkan hasil penyelidikan serta bertukar pandangan dan pendapat dalam bidang berkaitan Kejuruteraan Pembuatan dan Industri.  

Para peserta persidangan juga turut dibawa melawat ke pameran industri berkaitan Kejuruteraan Pembuatan dan Industri dan lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Putrajaya. 


Info Sekitar Kampus

Warga kerja UMPH ikrar bebas rasuah

BIL. 51 OKT 2019

Lebih 300 warga kerja UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH) dan kumpulan membabitkan semua peringkat menandatangani komitmen dan melafaz ikrar sebagai usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat pada 2 Oktober 2019 yang lalu. 

Bacaan ikrar dilafazkan di hadapan Pengerusi UMPH, Dato’ Sri Mohd. Hilmey Mohd. Taib, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Pahang, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif UMPH, Ir. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.  

BIL. 51 OKT 2019

Komitmen dan lafaz ini bakal memperkasa nilai dalaman organisasi ini dalam melaksanakan mandat yang diberikan dengan integriti yang tinggi malahan memberi mesej kepada masyarakat agar menunaikan tanggungjawab dengan amanah dan tidak prejudis ke atas mana-mana warganya termasuk perbuatan rasuah.

Menurut Ir. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid, sebagai sebuah organisasi yang mengamalkan gerak kerja yang berintegriti tinggi, pihaknya tidak akan membenarkan sebarang perbuatan rasuah dalam apa jua bentuk, sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam organisasi dan dalam semua prosedur termasuk yang melibatkan pembekal, pemegang lesen, pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan.

BIL. 51 OKT 2019

“Setiap warga kerja juga perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Kod Etika yang telah dibangunkan demi mewujudkan persekitaran budaya kerja positif dan kondusif. 

"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam meningkatkan saluran aduan yang selamat dan boleh diakses oleh seluruh warga kerja serta lain-lain pihak bagi tujuan melaporkan perbuatan rasuah dengan penuh yakin dan tanpa sebarang risiko tekanan atau diselubungi perasaan takut,” katanya dalam Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang berlangsung di Dewan Kompleks UMPH di Gambang.

Beliau juga turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama memupuk dari awal budaya dan nilai korporat yang menjunjung nilai integriti sebagai nadi pergerakan aktiviti UMPH yang merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Jelas beliau lagi, nilai integriti ini perlu dizahirkan dalam semua tindakan dan amalan sama ada melalui teladan kepimpinan, tatacara penampilan serta keterampilan dan yang paling utama adalah sikap (attitude) warga kerja UMPH dalam melaksanakan tugas.

BIL. 51 OKT 2019

“Kami juga akan bekerjasama dengan pihak SPRM dalam meningkatkan saluran aduan yang selamat dan boleh diakses oleh seluruh warga kerja serta lain-lain pihak bagi tujuan melaporkan perbuatan rasuah dengan penuh yakin dan tanpa sebarang risiko tekanan atau diselubungi perasaan takut,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, barisan pengurusan UMP meliputi pegawai utama, dekan, pengarah dan ketua jabatan telah menyempurnakan lafaz ikrar pada 25 Oktober 2017 dan UMP merupakan antara agensi terawal di negeri Pahang yang melaksanakan komitmen perangi rasuah.   


Akademik dan Antarabangsa

Hari Terbuka PPA platform terbaik bimbing pelajar ump dalam pengajian

BIL. 51 OKT 2019

Hari Terbuka Pusat Pengurusan Akademik  Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung di UMP Kampus Gambang dan UMP Kampus Pekan pada 4 dan 5 Oktober 2019 yang lalu merupakan platform terbaik buat pelajar untuk mengetahui dan mendapatkan nasihat serta perkhidmatan yang disediakan untuk memudahkan urusan pengajian sepanjang berada di universiti.

Pengarah Pusat Pengurusan Akademik (PPA),  Profesor Madya Mohd Shahrir Mohd Sani berkata, inisiatif ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pengurusan akademik yang berkualiti kepada semua pemegang taruh universiti selaras dengan perancangan dan matlamat UMP. 

“Penganjuran program ini signifikan dengan mengambil kira pembaharuan dan perkembangan terkini dalam sistem akademik yang baharu seterusnya menjadi pusat rujukan setempat dalam pengurusan akademik prasiswazah.

BIL. 51 OKT 2019

“Bertemakan Togetherness #WeCare turut menghimpunkan keterlibatan pihak yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan sokongan akademik. 

“Pelajar juga berpeluang mendengar Taklimat Akademik, Klinik Pengiraan GPA/CGPA, Taklimat Direct Entry dan mengasah bakat sebagai Pembaca Berita dan Pengacara UMP TV, iaitu sebagai medium dalam menyampaikan hebahan dan perkembangan dalam kampus,” katanya.

BIL. 51 OKT 2019

Beliau hadir melancarkan  Projek Pre Amour (Preloved) yang merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memfokuskan kepada pelajar UMP yang memerlukan.
 
Ujarnya lagi, Projek Pre Amour ini diinspirasikan daripada Projek 'Gerobok Rezeki' merupakan tempat yang disediakan kepada pelajar untuk peluang membawa pulang pelbagai barangan preloved (terpakai) seperti baju, seluar, tudung, beg, kasut dan sebagainya yang masih dalam keadaan baik secara percuma. 

BIL. 51 OKT 2019

“Projek ini juga merupakan kesinambungan program MyGift UMP yang giat dijalankan sepanjang tahun dalam usaha membantu warga UMP khususnya pelajar dan komuniti setempat.
 
Bagi pelajar Fakulti Pengurusan Industri, Siti Nabirah Amran, 22, program ini banyak memberi manfaat kepada pelajar terutamanya untuk mengetahui kemudahan dan peranan jabatan yang terdapat di UMP. 

Misalnya Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) yang pada awalnya beliau sendiri tidak mengetahui fungsi CIReL dalam menawarkan pengajian secara dalam talian melalui inisiatif Kuliah Pembelajaran Global (Global Classroom).   
 

Turut  diadakan perkhidmatan kaunter melibatkan beberapa PTJ seperti Pusat Pemasaran & Kemasukan Akademik, Pejabat Naib Canselor (PNC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Bahagian Kaunseling, Jabatan Bendahari, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Pusat Antarabangsa, Pusat Teknologi Maklumat dan lain-lain lagi.


MyGift

Sukarelawan MyGift edar nasi lemak secara percuma buat mahasiswa bersarapan

BIL. 51 OKT 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Sebanyak 400 bungkus nasi lemak diedar secara percuma yang dijalankan serentak di kedua-dua kampus bagi meringankan beban mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk mendapatkan sarapan pagi secara percuma sebelum memulakan sesi pengajian di awal pagi mulai 1 Oktober 2019 yang lalu. 

Seawal jam 8.00 pagi, sukarelawan MyGift telah mula mengedarkan nasi lemak secara percuma kepada mahasiswa yang bertumpu di hentian bas dan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif di Pekan manakala di Gambang diedarkan di sekitar Blok W.

Pegawai MyGift UMP, Mohd Jamil Mohd Jaafar berkata, program yang dinamakan MyNasi Lemak ini merupakan salah satu inisiatif MyGift untuk menggalakkan mahasiswa bersarapan sebelum memulakan pengajian.

“Program ini akan dilaksanakan secara berterusan bermula Oktober ini sehingga Disember tahun ini. 

“Mahasiswa menyambut baik inisiatif ini yang dijalankan sebagai usaha membantu mahasiswa mendapatkan makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, UMP memperkenalkan program MyGift sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan.

Program MyGift ini juga diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar terutamanya daripada industri mahupun syarikat untuk sama-sama menyumbang kepada tabung endowmen universiti.

UMP turut mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP, pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat sama ada di dalam mahu pun luar negara dalam menyokong pembudayaan menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan di universiti ini. 

Orang ramai boleh turut sama menyumbang melalui perbankan internet dengan melayari portal MyGift di laman web universiti, mygift.ump.edu.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program ini.