30 staf Perpustakaan UMPSA dalami teknik penulisan berita efektif
PEKAN, 4 Julai 2025 – Seramai 30 orang staf Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Perkongsian Ilmu dan Praktikal: Berita atau Laporan? Bezakan dan Biasakan yang Betul bagi mendalami teknik penulisan berita yang efektif.
Program anjuran Unit Pengurusan Ilmu, Perpustakaan yang berlangsung di Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMPSA Pekan itu telah dikendalikan oleh Pengurus, Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Safriza Baharuddin yang berpengalaman 25 tahun dalam bidang penerbitan dan penulisan.
Menurut Safriza, dalam penulisan berita, kaedah piramid terbalik sering digunakan kerana menerusinya maklumat paling penting ditulis dahulu dan diikuti dengan maklumat-maklumat yang kurang penting.
“Maklumat yang tinggi nilai berita diletakkan di awal berita, maklumat yang mempunyai nilai berita yang rendah diletakkan di bahagian akhir berita.
“Tujuan penulisan berita secara berstruktur adalah bagi memastikan pembaca mendapat maklumat secara tersusun, pantas dan secara tidak langsung memudahkan penyunting untuk mengenal pasti perenggan yang kurang penting sewaktu proses penyuntingan berita.
“Tajuk berita perlu pendek, menarik, jelas dan mampu menarik perhatian pembaca,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, penulisan berita juga perlu menjawab kepada persoalan unsur 5W + 1H - Apa (What), Di mana (Where), Bila (When), Mengapa (Why), Siapa (Who) dan Bagaimana (How), dapat memperkemaskan lagi kandungan berita supaya lengkap dan padat.
“Bahasa yang digunakan juga haruslah mudah difahami dan padat serta elakkan daripada penggunaan ayat yang panjang dan meleret-leret,” katanya.
Safriza berkata, berita AI (Kecerdasan Buatan) bukanlah kewartawanan yang sebenar.
“Saya tidak nafikan bahawa penggunaan AI dalam dunia kewartawanan banyak manfaatnya seperti pencarian maklumat dengan pantas, transkrip wawancara dan sebagainya.
“Namun, kebimbangan saya ialah jika ia digunakan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kehilangan sentuhan manusia di dalam penulisan berita.
“Ibarat tiada jiwa dan berita tiada ketulenan serta kreativiti,” tegas beliau.
Ujarnya, teknologi AI perlu dilihat sebagai pelengkap untuk bantu kita mencari maklumat dan bukannya pengganti kepada profesion wartawan.
Sepanjang sesi, beliau turut berkongsi penulisan berita berdasarkan elemen utama iaitu jenis-jenis berita, struktur penulisan, terma khusus dan juga kesalahan lazim yang sering berlaku di dalam penulisan berita.
Menurut Timbalan Ketua Pustakawan UMPSA, Noorul Farina Arifin, program ini sangat baik dan bagus untuk semua peserta khususnya Pembantu Pustakawan bagi mempelajari cara-cara membuat berita dengan cara yang betul.
Manakala Pembantu Pustakawan, Wan Rosnur Irma Wan Mohamad pula berkata, sesi ini sangat bagus kerana ia memperkenalkan dengan lebih jelas cara penulisan berita dan cara-cara mengolah berita dengan lebih berkesan
“Saya berharap dapat menulis berita dengan lebih gempak dan berimpak selepas selesai sesi ini,” ujarnya.
Program setengah hari tu diteruskan dengan pembentangan hasil perbincangan setiap kumpulan dengan semakan dan ulasan dari penceramah pada setiap berita yang dibentangkan.
Ketua Unit Pengurusan Ilmu, Perpustakaan UMPSA merangkap pengurus program, Amelia Hasan berharap sesi ini dapat meningkatkan gaya penulisan staf perpustakaan ke taraf universiti dengan gaya penulisan profesional.
Disediakan Oleh: Noor Fateeha Mohamad dan Nurul Hamira Abd Razak, Perpustakaan UMPSA
- 81 views