Kreativiti kitar semula serlahkan keceriaan melalui bahan terpakai
PEKAN, 16 Julai 2025 – Satu sesi perkongsian ilmu yang bertemakan ‘Keceriaan Berimpak: Magis Bahan Terpakai’ telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertempat di Bilik Mesyuarat Fakulti Aras 1, PBM, UMPSA Pekan, bersempena dengan Minggu EKSA x KKP x Sukan PBM 2025.
Sesi ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan kreativiti dan inovasi menerusi amalan kitar semula dan kelestarian dalam kalangan warga PBM.
Guru Seni Reka dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Azimah Mohamed telah dijemput sebagai penceramah sesi perkongsian ilmu tersebut.
Beliau berkongsi pelbagai inspirasi dan teknik kreatif menggunakan bahan terpakai dalam menghias ruang kerja.
Antara pengisian utama termasuklah pengenalan kepada konsep asas kitar semula, peranan Unit Kreativiti dan Inovasi di bawah inisiatif Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), serta cadangan projek seni berimpak menggunakan bahan seperti plastik, kaca, kertas dan aluminium.
Idea seperti pasu bunga tergantung, pagar kaca hiasan, pemegang tisu kotak terpakai dan bakul surat khabar mendapat perhatian kerana nilai estetik dan praktikalnya.
Beliau turut memperkenalkan prinsip pemilihan warna berasaskan nisbah 60:30:10 sebagai panduan untuk mewujudkan suasana ruang yang seimbang dan harmoni.
Beliau berkata, dalam pendekatan ini, 60 peratus warna digunakan sebagai latar dominan.
“30 peratus untuk elemen sokongan, manakala sepuluh peratus warna aksen berperanan menyerlahkan ruang secara visual.
“Prinsip ini membantu mencipta persekitaran kerja yang bukan sahaja ceria, malah profesional dan kondusif untuk warga kerja dengan imej korporat,” ujarnya.
Manakala menurut salah seorang peserta program, Guru Bahasa Kanan, Rosnani Ismail, sesi tersebut telah membuka perspektif baharu mengenai potensi bahan terpakai.
“Saya tidak sangka barang-barang yang biasa kita anggap sampah sebenarnya boleh dijadikan hiasan yang sangat cantik dan berfungsi.
“Ia juga boleh menjimatkan kos dan pada masa sama menaikkan seri dan imej jabatan kita,” katanya.
Manakala Guru Bahasa, Leong Hui Theng turut berkongsi keterujaan beliau berkenaan bengkel tersebut.
“Saya tertarik dengan tip pemilihan warna 60:30:10 yang dikongsi.
“Ia mudah difahami dan sangat berguna untuk menghias pejabat secara lebih sistematik tanpa perlu bajet besar,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Bahasa Kanan, Shamsul Harbi, seorang peserta yang aktif dalam seni kitar semula dan sering menghasilkan inovasi kreatif menggunakan bahan buangan, turut melahirkan rasa penghargaan terhadap sesi tersebut.
“Program ini memberi saya suntikan idea baharu dan mengukuhkan lagi kepercayaan saya bahawa bahan terpakai mampu diangkat menjadi karya yang bermakna dan memberi nilai kepada organisasi,” ujarnya penuh semangat.
Program itu berjaya mencetuskan minat dalam kalangan warga PBM terhadap inovasi kitar semula sebagai medium memperindah persekitaran dan memupuk budaya kerja lestari.
Inisiatif ini turut menyokong aspirasi UMPSA dalam memperkukuh pelaksanaan EKSA melalui pendekatan yang kreatif, berimpak dan mesra alam.
Bak kata pepatah, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ menunjukkan kreativiti dan usaha berterusan pasti membuahkan hasil yang memberi impak besar kepada komuniti kerja dan alam sekitar.
Disediakan Oleh: Muhamad Aizat Zulkifli, Jamilah Bebe Mohamad Dan Hanisah Kasbon, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 110 views