UMPSA bimbing Pengamal Perubatan Tradisional, teguh pertahan akidah dan syariah
GAMBANG, 8 Ogos 2025 – Pusat Sains Kemanusiaan (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Kursus Isu-isu Akidah dan Syariah dalam Perubatan Tradisional pada 7 dan 8 Ogos 2025 bertempat di UMPSA, Kampus Gambang.
Kursus yang dikendalikan oleh Pensyarah PSK, Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail itu dilaksanakan secara hybrid yang menggabungkan sesi fizikal dan dalam talian.
Ia melibatkan seramai 18 orang peserta yang hadir secara bersemuka dan 25 peserta secara maya.
Penyertaan datang dari seluruh Malaysia, termasuk kehadiran peserta antarabangsa daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam.
Para peserta terdiri daripada perawat, pengamal perubatan tradisional dan individu yang berminat mendalami aspek hukum Islam dalam bidang ini.
Penganjuran kursus itu bertujuan untuk memberikan pendedahan mendalam kepada pengamal perubatan tradisional mengenai isu-isu akidah dan syariah, sekali gus memastikan setiap amalan rawatan selaras dengan prinsip serta etika perubatan Islam.

Pengisian kursus memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama iaitu melahirkan perawat yang memahami prinsip syariah, memberi panduan praktikal membezakan amalan yang dibenarkan dan yang bercanggah dengan akidah, serta mengukuhkan kefahaman peserta terhadap tanggungjawab menjaga akidah dan integriti rawatan.
Menurut Profesor Madya Dr. Mahyuddin, pemahaman yang betul terhadap prinsip akidah dan syariah adalah asas penting dalam perubatan tradisional.
“Keberkesanan rawatan bukan sahaja diukur dari sudut fizikal, tetapi juga dari sudut pemeliharaan akidah dan pematuhan syariah.
“Pengamal perlu peka terhadap batasan hukum agar amalan mereka tidak menyimpang daripada ajaran Islam,” tegasnya.
Peserta turut berkongsi pandangan bahawa kursus ini memberi perspektif baharu yang lebih sistematik iaitu ilmu yang diperoleh membantu dalam menilai semula kaedah rawatan yang digunakan, memastikan ia benar-benar selari dengan hukum Islam.
Maklum balas keseluruhan daripada peserta menunjukkan kursus ini sangat relevan dengan keperluan semasa dan mampu menjadi garis panduan berguna dalam amalan seharian.
Pusat Sains Kemanusiaan UMPSA optimis penganjuran seperti ini akan diteruskan bagi menyokong usaha memperkasa perubatan tradisional berteraskan syariah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 70 views
Reports by: