Skip to main content

100 sukarelawan UMPSA jayakan Plogging@Pantai Tanjung Gosong

PEKAN, 23 Julai 2025 - Hampir 100 sorang ukarelawan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pos Malaysia Berhad Negeri Pahang, SWCorp dan Alam Flora telah  menjayakan Program Plogging@Pantai Tanjung Gosong.

Pengarah Pusat Pembangunan Lestari (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain berkata, program ini merupakan siri kedua bagi tahun ini dan siri ketiga akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

“Program ini bukan sahaja berjaya menyemai rasa tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar, malah menjadi platform kolaborasi strategik antara universiti, agensi kerajaan dan pihak industri.

“Pada hari ini, jumlah berat keseluruhan sisa adalah  sebanyak 333.2  kilogram  dengan jarak kutipan  kurang 500 meter sepanjang pantai. 

“Daripada jumlah tersebut, sisa yang tertinggi iaitu plastik/rigid (14.3 kg) diikuti dengan lain-lain sisa (124 kg), sisa plastik/form (27.6 kg), sisa kebun (16.5 kg),  sisa getah (12 kg) dan sisa botol (10 kg),” ujarnya. 

Data sisa yang dikumpulkan ini  digunakan untuk tujuan audit sisa dan analisis trend pembuangan sampah bagi merancang langkah-langkah pengurangan sisa di pantai tersebut.

100 sukarelawan UMPSA jayakan Plogging@Pantai Tanjung Gosong

Beliau turut menasihati para pengunjung pantai agar lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah merata-rata, sebaliknya mengamalkan tabiat membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan atau membawanya pulang sekiranya tiada kemudahan tong sampah di lokasi.

Pengurus OSH Pos Malaysia Negeri Pahang, Mohd Najmi Mohammed turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMPSA yang menjadi rakan strategik dalam menjayakan program ini. 

“Kami bersedia untuk menjalankan kerjasama pada program akan datang dengan UMPSA,” katanya. 

Manakala menurut salah seorang sukarelawan, Siti Nurfatin Abd Razak yang juga merupakan Eksekutif, Unit Integriti dan Pematuhan UMPSA, ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai program plogging ini.

“Ia amat bermakna buat saya dan membuka mata terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

“Malah, program  ini turut berpotensi mempromosikan Pantai Tanjung Gosong sebagai salah satu destinasi ekopelancongan terutamanya kepada staf yang bukan berasal dari Negeri Pahang,” katanya.

Turut hadir sama Pembantu Penguatkuasa SWCorp, Mohamed Azwan Mohamed Yusof.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Lestari (SDG)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri