Skip to main content

18 sukarelawan UMPSA sertai Misi Kemanusiaan Kashmir baik pulih jambatan dan tingkatkan akses penduduk

KASHMIR, INDIA, 7 Oktober 2024 – Seramai 18 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan komitmen dalam memberi impak positif kepada masyarakat antarabangsa menerusi Program Kembara Mobiliti Antarabangsa di Kashmir, India. 

Program ini tidak hanya memberi peluang kepada peserta untuk meluaskan pengetahuan teknikal dan akademik tetapi juga dapat membina hubungan erat dengan komuniti setempat.

Para sukarelawan UMPSA terlibat dalam projek membaik pulih jambatan utama di Kampung Bhat, Kashmir, India. 

Jambatan sepanjang 500 meter itu menjadi laluan utama penduduk kampung ke kawasan sekitarnya, termasuklah sekolah, kemudahan awam, dan kedai runcit. 

18 sukarelawan UMPSA sertai Misi Kemanusiaan Kashmir baik pulih jambatan dan tingkatkan akses penduduk

Program khidmat komuniti ini bukan sahaja memperbaiki jambatan yang usang, tetapi turut mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar, menjadikan suasana kampung lebih bersih dan selesa.

Ketua Kampung Bhat, Gulam Hussain menyatakan penghargaan beliau atas usaha pihak UMPSA. 

“Membaiki jambatan ini sangat penting bagi meningkatkan aksesibiliti dan keselamatan penduduk kami. 

“Selain itu, aktiviti gotong-royong ini juga turut memberi kesedaran kepada penduduk tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.

Selain daripada aktiviti khidmat komuniti, para peserta program mobiliti turut berpeluang menjalankan kerjasama akademik dengan University of Kashmir (UoK). 

Pada 7 Oktober 2024, delegasi pelajar UMPSA turut menghadiri kursus jangka pendek Internet of Things (IoT) di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UoK. 

Program ini memperkenalkan pelajar kepada teknologi terkini yang akan memainkan peranan penting dalam pembangunan masa depan.

Menurut Pengarah Program, Muhamad Zubair Faiz Zulkefly, semoga kerjasama ini dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pelajar UMPSA. 

“Program ini menyediakan platform untuk pertukaran idea dan inovasi serta memperkukuh hubungan antara UMPSA dan UoK. 

“Kami amat menghargai sokongan pihak UoK yang menyediakan penginapan dan fasiliti sepanjang program ini,” katanya.

Program mobiliti ini turut melibatkan aktiviti amal yang bertemakan pendidikan. 

Pada 9 Oktober 2024, para sukarelawan telah mengadakan program di Government Middle School, Pahalgam, Jammu, Kashmir dan Jammu and Kashmir Yateem trust, Srinagar, Kashmir. 

Dengan hampir 200 orang pelajar, sekolah yang beroperasi di kawasan pergunungan ini menerima kunjungan daripada para peserta yang melaksanakan aktiviti bertemakan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik). 

Melalui aktiviti praktikal dan pameran ‘Street Science’, pelajar sekolah dapat melihat bagaimana konsep STEM diaplikasikan di dalam kehidupan harian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Care Global (MCG), Tuan Haji Zakaria Latif, turut menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada pelajar-pelajar serta bantuan kit prihatin kepada pihak Rumah Anak Yatim Jammu and Kashmir Yateem Tust. 

Ujarnya, ini merupakan program kali pertama MCG terlibat dalam program di India dan beliau gembira dapat bekerjasama dengan UMPSA melalui Yayasan UMPSA.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMPSA ini merupakan usaha universiti dalam melahirkan pelajar berwawasan global dan bersifat sukarelawan. 

Disediakan Oleh: Nur Husna Azlan, Sukarelawan Yayasan UMPSA dan Pelajar UMPSA

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News